Monday, April 23, 2012

PENYELEWENGAN AKIDAH DAN SYARIAT DALAM PERKHIDMATAN RAWATAN ALTERNATIF: ISU KEPENGGUNAAN & AKIDAH UMAT ISLAM



PENYELEWENGAN AKIDAH DAN SYARIAT DALAM PERKHIDMATAN RAWATAN ALTERNATIF: ISU KEPENGGUNAAN & AKIDAH UMAT ISLAM

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail[1]
LLB (IIUM), MCL (IIUM), PhD (UKM)

ABSTRAK

Kertas kerja ini bertujuan membongkar amalan-amalan perubatan alternatif dan tradisional yang menyeleweng dari ajaran Islam. Khidmat rawatan sebegini yang memperalatkan agama sebagai topeng menyebabkan umat Islam terkeliru dan terpedaya. Ketiadaan peruntukan undang-undang selain kurang penyeliaan oleh pihak berkuasa ke atas pusat-pusat rawatan menjadikan isu ini tidak diberi perhatian sewajarnya. Kertas kerja ini secara spesifik menganalisa dan menghurai bentuk-bentuk penyelewengan dalam amalan perubatan yang sering digunakan dalam proses rawatan. Analisa ini mewujudkan beberapa garis panduan yang berguna dalam usaha menyelamatkan rohani dan jasmani ummah. Kajian ini juga turut mencadangkan penggunaan mekanisma perundangan bagi menangani permasalahan ini sehingga akar umbi.


Pengenalan
Isu status halal sesuatu produk atau perkhidmatan telah mendapat perhatian yang meluas dalam kalangan masyarakat. Kerajaan juga telah meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal di rantau Asia. Demi mencapai matlamat tersebut, maka pelbagai inisiatif telah dilakukan termasuklah peruntukan bajet khas,[2] penubuhan institusi sokongan,[3] penganjuran kempen kesedaran,[4] penyediaan fasiliti[5], kursus dan latihan di institusi pengajian tinggi,[6] perkongsian kepakaran dengan institusi-institusi terpilih[7] dan juga penguatkuasaan undang-undang.[8] Institusi-institusi kewangan dan perbankan juga tidak ketinggalan dalam misi kerajaan ini. Pelbagai produk perbankan berteraskan Islam diperkenalkan bagi menarik minat dan perhatian pelanggan-pelanggan beragama Islam untuk melabur dalam institusi mereka. Semuanya bagi memastikan produk dan perkhidmatan mempunyai jaminan halal.

Namun, status halal pada produk dan perkhidmatan perubatan alternatif berjenama Islam kelihatan kurang diberi perhatian. Tiada kempen kesedaran, penerangan, garis panduan apatah lagi peruntukan dan penguatkuasaan undang-undang untuk mengawal selia penawaran perkhidmatan sebegini. Hasilnya, pelbagai pusat rawatan yang mendakwa berteraskan perubatan Islam muncul bagi menawarkan rawatan kepada pelanggannya. Dari satu aspek, fenomena ini dilihat sebagai satu perkembangan yang positif dalam dunia perubatan Islam. Namun negatifnya, terdapat sebilangan pusat rawatan ini sebenarnya tidak memenuhi tuntutan sebenar Syara’ dan mementingkan keuntungan semata-mata. Lebih membimbangkan lagi, ada sesetengahnya pula yang menyeleweng dan menyelitkan unsur-unsur sihir dalam kaedah rawatan yang dijalankan. Justeru, isu kepenggunaan produk atau perkhidmatan yang boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah perlu diberi penekanan yang lebih bagi menjamin keselamatan akidah umat Islam dunia dan akhirat.

Kertas kerja ini bertujuan membangkitkan isu penyelewengan akidah dan syariat dalam penawaran produk dan perkhidmatan rawatan alternatif berjenama Islam, dengan harapan ianya akan diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa. Ia bukan sahaja amat penting untuk kebaikan pengguna, malah dapat menyelamatkan akidah seorang Muslim dari terlibat dalam perbuatan yang menyekutukan Allah.

Fenomena Perubatan Alternatif
Menurut William Shaw, sebilangan masyarakat di Malaysia percaya bahawa mereka telah menjadi mangsa sihir dan telah mencari jalan untuk mendapatkan rawatan tradisional disamping ’menghantar balik’ sihir itu kepada tuannya.[9] Kenyataan tersebut ada benarnya. Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2004 menunjukkan bahawa sebanyak 56% rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (PTK) sebagai alternatif kepada perubatan moden dan jumlah tersebut meningkat dari tahun ke tahun. Manakala kajian yang dijalankan oleh World Health Organisation (WHO) pula menunjukkan bahawa 80% daripada populasi negara membangun dan 65% populasi negara maju bergantung kepada PTK untuk kesihatan mereka. Sambutan yang menggalakkan ini telah diambil kesempatan oleh sesetengah individu yang menjadikan rawatan alternatif ini sebagai lubuk emas. Maka tidak hairanlah pusat-pusat rawatan alternatif wujud bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, seramai 2,482 orang telah berdaftar sebagai pengamal perubatan tradisional dan komplementari antara November 2008 sehingga Disember 2010.[10] Pada Januari sehingga Mei 2011, seramai 962 pengamal perubatan telah mendaftarkan diri sebagai pengamal melalui laman e-pengamal[11] dan pecahannya adalah seperti berikut:

Pengamal
Jan
Feb
Mac
April
Mei
Tradisional Melayu
2
6
5
2
2
Tradisional Cina
76
22
110
354
309
Tradisional India
0
0
0
0
0
Kompelementari
13
7
1
14
10
Homeopati
4
0
8
4
3
Pengubatan Islam
2
7
1
0
1
JUMLAH
96
42
125
374
325
Jadual 1: Pendaftaran Pengamal Mengikut Modaliti Bagi Bulan Januari-Mei 2011

Berpandukan jadual di atas, didapati masih ramai golongan perawat Islam yang tidak berdaftar dengan pihak kementerian. Justeru, proses pemantauan dan penyeliaan ke atas pusat rawatan ini agak sukar untuk dilakukan oleh pihak berkuasa. Hasilnya, para pengamal perubatan komplementari dan tradisional bebas menjalankan rawatan atas nama pusat rawatan Islam. Latar belakang agama dan penampilan diri pengamal juga telah menyebabkan masyarakat turut tertipu. Sesetengahnya pula memakai gelaran perawat Islam, ustaz, kiyai, tabib atau apa-apa nama yang berunsur Islam walaupun kaedah yang digunakan jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara-perkara sebegini bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah turut menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.

Penyelewengan Dalam Perubatan Alternatif Islam
Amalan perubatan yang menggunakan jenama Islam ini mungkin tidak melibatkan perhambaan atau penyembahan kepada syaitan pada pandangan mata kasar. Namun, jika dilihat secara lebih halus dan teliti, terdapat banyak unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam. Antara perbuatan yang dikenal pasti adalah seperti berikut:

a)  Menggunakan khidmat makhluk halus
Sebahagian perawat menggunakan khidmat makhluk halus dalam kalangan jin sama ada sebagai khadam, pendamping atau sahabat dalam proses merawat pesakit. Mereka mendakwa bahawa jin yang digunakan adalah jin Islam. Perawat sebegini bukan sahaja terkeliru bahkan mengelirukan orang lain terutama pesakit. Kaedah menggunakan jin sebagai pembantu sebenarnya sama sahaja dengan kaedah merawat menerusi resapan mahkluk tersebut ke dalam tubuh perawat seperti dalam upacara menurun, tok bageh, main putri, ulek mayang dan sebagainya. Kaedah menggunakan jin sebagai sahabat adalah satu bentuk tipu daya syaitan setelah umat Islam mula menyedari kaedah resapan roh menyalahi ajaran Islam. Melalui strategi baru ini, makhluk tersebut tidak lagi meresap masuk ke dalam tubuh perawat, sebaliknya mengilhamkan sesuatu melalui bisikan, memperlihatkan sesuatu yang terselindung dan yang ghaib dari pandangan. Allah SWT telah memberi peringatan tentang kesan orang-orang yang menjadikan jin sebagai pendamping dengan firmanNya dalam surah Al-Jin ayat 6:
”Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Allah SWT juga memberi amaran akibat yang akan menimpa orang-orang yang bersahabat dan meminta bantuan dari jin melalui firmanNya dalam surah Al-An’am ayat 128:
”Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (syaitan-syaitan), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah".

b)  Mempamerkan perkara-perkara ajaib dan luar biasa
Terdapat perawat yang melakukan perkara aneh dan luar biasa seperti melakukan pembedahan batin, mengambil barang yang jauh dalam sekelip mata, menangkap jin dan mengurungnya dalam botol, menilik lokasi barang hilang, merawat dari jauh, membaca hati pesakit dan seumpamanya. Ada juga perawat yang melakukan solat sunat untuk menilik di mana barang atau orang yang hilang berada. Ada pula yang mengamalkan zikir tertentu dalam tempoh tertentu untuk menarik harta karun. Tidak kurang juga yang menggunakan tasbih untuk meneropong hati manusia. Semuanya kelihatan seolah-olah selari dengan syariat disebabkan kaedah dan alatan yang digunakan berunsur Islamik. Malah orang yang melakukan perkara-perkara ajaib itu dipanggil ustaz. Hasilnya, manusia mula mengganggap apa yang dilakukan oleh perawat-perawat ini adalah berpunca dari karamah tanpa menyedari bahawa itulah sebenarnya sihir.[12]

Kekeliruan untuk memahami tipu daya syaitan dalam hal tersebut bukan sahaja berlaku dalam masyarakat pada hari ini, bahkan telah pun berlaku sejak zaman terdahulu. Sebagai contoh, rakyat Nabi Sulaiman a.s. terkeliru antara mukjizat Baginda (seperti kebolehan memahami bahasa haiwan,[13] kebolehan menguasai jin dan syaitan dan kebolehan bergerak ke satu tempat dengan menggunakan awan[14]) dengan sihir yang diajarkan oleh para syaitan dan jin kepada manusia.[15] Mukjizat Nabi Sulaiman kelihatan seolah-olah menyamai seperti apa yang dilakukan oleh ahli sihir pada zaman itu. Di dalam agama-agama samawi seperti Islam, Kristian dan Yahudi, terdapat beberapa istilah yang merujuk kepada sesuatu yang luar biasa yang berlaku pada diri seorang manusia. Ianya sama ada mukjizat, karamah, Maunah ataupun sihir. Walaubagaimanapun, terdapat perbezaan yang nyata antara mukjizat, karamah dan maunah dengan ilmu sihir dalam aspek-aspek yang berikut:

No
Aspek
Mukjizat, karamah & maunah
Ilmu Sihir
1.
Kaedah Belajar
Dikurniakan Allah tanpa perlu dipelajari atau diamalkan. Tiada syarat-syarat tertentu atau tempoh tertentu.
Perlu dipelajari dari seseorang dan diamalkan untuk suatu tempoh tertentu dengan syarat-syarat tertentu.
2.
Kaedah Mengajar

Mustahil untuk diajar atau diwariskan oleh orang lain.
Boleh diajar dan diamalkan oleh sesiapa sahaja yang berkehendak.
3.
Kekerapan Berlaku

Berlaku secara spontan. Boleh terjadi berulang kali tanpa dirancang atau diatur.
Boleh dilakukan bila-bila masa yang dikehendaki dan  boleh diatur serta ditentukan.
4.
Matlamat
Mukjizat adalah tanda kenabian, karamah tanda kemuliaan,
Maunah adalah pertolongan.
Sihir adalah tipu daya syaitan
5.
Kebolehtontonan
Mukjizat mesti dipertontonkan sebagai tanda kenabian. Karamah tidak boleh dizahirkan dan mesti  disembunyikan.
Kebolehan luar biasa amalan sihir selalu dipertontonkan untuk tujuan keduniaan dan kepentingan diri.
6.
Kebolehbatalan
Mukjizat, karamah dan maunah tidak mungkin dapat ditandingi apalagi dibatalkan.
Kesan ilmu sihir boleh dibatal dan dihapuskan oleh orang yang tahu akan kelemahannya
7.
Kesan
Bersifat hakiki dan betul-betul terjadi.
Ilmu sihir lebih bersifat khayalan dan tipu daya.
8.
Kesesuaian zaman
Mukjizat dikurniakan mengikut kesesuaian zaman dan tempat, dan ianya berbeza dari satu zaman ke satu zaman.
Dari dahulu hingga sekarang, sihir mempunyai persamaan dari segi alatan, bahan dan kaedah yang digunakan.
9.
Ciri-ciri penerima
Nabi atau Rasul yang mempunyai akhlak yang mulia dan terpuji, manusia-manusia yang bertaqwa, hampir dengan Allah, soleh dan baik akhlaknya.
Pengamalnya bukan dari kalangan soleh dan biasanya mempunyai akhlak yang buruk dan tercela.
Jadual 2: Perbezaan antara mukjizat, karamah, maunah dan sihir.

Berdasarkan perbandingan yang dinyatakan dalam jadual di atas, maka kita boleh membuat penilaian sama ada kebolehan luar biasa yang ditunjukkan oleh seseorang adalah kurniaan berbentuk karamah atau maunah, atau merupakan amalan sihir.

c)  Mengajarkan ilmu dan amalan kebatinan
Terdapat perawat-perawat yang mengajarkan ilmu-ilmu kebatinan yang bukan berasal dari ajaran Islam kepada pesakit atau murid-murid mereka. Antaranya ialah ilmu dan amalan pelindung diri (seperti ilmu kebal dan ilmu ghaib) atapun ilmu pelindung kediaman (seperti pendinding dan pagar rumah). Terdapat juga pengamal seni bela diri yang menggunakan nama-nama tokoh Islam sebagai sandaran asal usul amalan mereka. Sebagai contoh, Ilmu Persilatan Saidina Umar, Ilmu Persilatan Saidina Ali, Ilmu Persilatan Sheikh Abdul Kadir Al Jailani dan lain-lain nama lagi. Ilmu-ilmu sebegini tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW. Malah, Baginda SAW sendiri berperang dan mengalami kecederaan. Apa yang Baginda anjurkan kepada umatnya adalah agar memagar diri dengan iman dan taqwa kepada Allah, bukan kepada yang selainNya.

d)  Menggunakan tangkal, azimat dan barang-barang hikmat
Terdapat perawat-perawat Islam yang membekalkan pesakit mereka dengan azimat, tangkal atau barang-barang hikmat sebagai pelindung, pelaris, pengasih, pendinding dan yang seumpamanya. Barang-barang tersebut bukan sahaja dilambakkan di tepi-tepi jalan, malah turut diiklankan dalam akhbar dan juga internet. Jika ditinjau ke lokasi-lokasi penjualan ubat-ubatan tradisional, kita akan dapati bahawa bahan-bahan seperti ini dijual secara terbuka. Tinjauan yang penulis lakukan di sekitar Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur serta ’Lorong Kunyit’ di Kuantan mendapati minyak pengasih, minyak senyonyong, minyak bulu perindu, syiling yasin 3 dan 5 serta pelbagai tangkal dijual kepada orang ramai secara terbuka. Begitu juga dengan jualan melalui internet. Bayangkan minyak dagu dijual dengan harga RM70,000! Yang lebih mengelirukan pengguna ialah apabila para perawat tersebut mendakwa barang hikmat tersebut seperti cincin, minyak kasturi, keris telah dibaca dan ditapakan dengan ayat-ayat Al-Quran. Masyarakat mudah percaya sekiranya pengamal mendakwa yang digunakan adalah jampi-jampi dari ayat-ayat Al Quran. Kegiatan yang jelas mengajak manusia mensyirikkan Allah ini dibiarkan bermaharajalela tanpa ada tindakan oleh pihak berkuasa agama.

e) Menggunakan kaedah yang bercanggah dengan Al Quran, hadis dan amalan ulama
Terdapat sebilangan perawat yang mengamalkan kaedah yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW dan para alim ulama seperti menilik, membuat ramalan dan tenung nasib. Yang menariknya ialah kaedah-kaedah tersebut dilakukan dengan menggunakan ayat-ayat dari Al-Quran. Masyarakat mula dikelirukan dan sebahagiannya menganggap bahawa ianya kaedah yang betul. Hakikatnya, Allah SWT menurunkan ayat-ayat Al-Quran sebagai panduan kepada golongan yang bertaqwa serta rahmat dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman. Kebelakangan ini, ramai perawat-perawat yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran bukanlah dalam kalangan yang mempunyai ciri-ciri mu’minin atau muttaqin sebagaimana yang digambarkan oleh surah Al Mu’minun. Oleh kerana itu, pengamalan ayat-ayat Al Quran sebagai suatu bentuk rawatan bukan boleh diijazahkan dan digunakan secara sesuka hati tanpa sebarang panduan oleh seorang guru. Pengamalan ayat-ayat tersebut dengan tujuan keduniaan (seperti kebal, ghaib, pengasih, penggerun, penyeri muka) akhirnya boleh menyebabkan pengamalnya bergantung kepada ayat, bukannya kepada Allah. Apabila keadaan ini berlaku, syaitan dan jin akan mengambil kesempatan dengan mendakwa mereka adalah khadam atau malaikat yang menjaga ayat tersebut.

f)  Memperolehi ilmu melalui sumber dan kaedah yang aneh
Terdapat perawat-perawat yang mempelajari ilmu tersebut melalui sumber yang aneh dan pelik seperti melalui mimpi berjumpa wali, malaikat, nabi dan orang soleh, atau penyerapan cahaya tertentu yang menjelma ke dalam diri, ilham dan juga bisikan. Sesetengahnya pula secara tiba-tiba mempunyai kebolehan merawat pesakit setelah sembuh dari penyakit atau sebaik sahaja pulang dari suatu tempat seperti Mekah. Perolehan ilmu dengan cara sebegini bertentangan dengan prinsip pengajaran dan pembelajaran dalam Islam. Bidang perubatan merupakan satu bidang yang memerlukan penekunan, kesungguhan, keazaman, minat, disiplin yang tinggi dan akidah yang mantap. Selain itu, penuntut juga perlu melalui satu tempoh untuk dibimbing oleh guru. Selain perolehan ilmu secara aneh tadi, terdapat perawat-perawat yang menganjurkan kursus-kursus perubatan Islam berbentuk ’mee segera’ yang mengajarkan ilmu perubatan untuk tempoh yang singkat secara pukal tanpa melihat prestasi dan potensi murid itu. Pendekatan sebegini boleh menimbulkan implikasi negatif terhadap penuntut kerana mereka tidak mendapat bimbingan secara langsung dan berterusan. Melahirkan seorang perawat Islam adalah sama seperti melatih seorang doktor pakar dalam perubatan moden. Selain aspek teori, mereka perlu menjalani amali untuk satu tempoh bagi mempersiapkan diri rohani dan jasmani. Tidak memadai hanya dengan menghadiri kursus satu atau dua hari lalu terus menceburi bidang perubatan. Lebih parah lagi apabila terdapat perawat yang tidak bertanggungajawab mengajarkan ilmu dan amalan perubatan Islam bukan secara bersemuka (talaqqi) dengan guru. Mereka memberi ijazah kebenaran beramal melalui buku, internet mahupun CD. Hal-hal sebegini boleh mengelirukan masyarakat yang mudah terpukau dengan kehebatan dan keluar biasaan yang ditunjukkan.

Tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa: Satu saranan
Penulis berpendapat, terdapat enam pendekatan yang perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani permasalahan ini.

a)  Memperkasakan bahagian penyelidikan dan bahagian penguatkuasaan jabatan agama Islam (khususnya yang berkaitan pencegahan amalam khurafat) melalui latihan dan kefahaman yang sebenar tentang selok belok dan tipu daya dalam perubatan alternatif. Melalui pemerhatian dan pengalaman penulis, terdapat sebilangan kakitangan di institusi agama sendiri turut terlibat dalam penggunaan khidmat perawat alternatif yang menyimpang dari kaedah perubatan Islam. Hal ini berlaku kerana kurang kefahaman atau terkeliru. Justeru, penguatkuasaan tidak mungkin dapat dilakukan sekiranya pihak penguasa juga terlibat dalam amalan-amalan sebegini. Melalui pemerkasaan ini, pegawai-pegawai yang terlibat akan lebih memahami tentang pentingnya kekuatan rohani dalam proses menguatkuasakan undang-undang ini.

b)  Membangkitkan kesedaran dalam kalangan pengamal rawatan alternatif Islam tentang tipu daya dalam dunia perubatan melalui pengajuran kursus, seminar dan juga sebaran am. Ini kerana ada sebahagian perawat menyangka apa yang mereka amalkan tidak salah dan bertepatan dengan ajaran Islam. Contoh terbaik ditunjukkan oleh Bahagian Kawalan Akidah, Jabatan Hal Ehwal Syariah Brunei. Mereka telah mengumpulkan kesemua pengamal-pengamal perubatan Islam di Brunei untuk diberikan penerangan tentang ciri-ciri perubatan yang menyeleweng. Usaha ini dilaksanakan kerana mereka percaya bahawa ramai pengamal yang tidak menyedari bahawa perbuatan mereka itu bertentangan dengan hukum syara’. Hasilnya, sebahagian dari mereka menerima dan bertaubat atas apa yang telah mereka lakukan.

c) Mengeluarkan sijil tauliah kepada pusat rawatan Islam yang ingin menjalankan rawatan Islam. Pensijilan ini adalah salah satu bentuk pemantauan bagi memastikan ianya tidak menyeleweng dari syariat Islam. Ketiadaan pemantauan ini menyebabkan sesiapa sahaja boleh menjalankan rawatan dan mendakwa rawatannya adalah rawatan Islam. Melalui cara ini, kaedah yang digunakan oleh pusat rawatan tersebut akan dinilai dan ditelitikan sebelum sijil tauliah dikeluarkan. Hasilnya, masyarakat akan merasa lebih yakin dan secara tidak langsung dapat menyelamatkan akidah mereka. Jika dibandingkan dengan perubatan alopati, terdapat peraturan-peraturan tertentu bagi membolehkan seseorang doktor beramal. Begitu juga dengan ubat-ubatan yang dihasilkan perlu mematuhi syarat dan piawaian tertentu. Oleh yang demikian, pusat rawatan Islam juga perlu mempunyai peraturan sedemikian bagi mengelakkan kekeliruan dan unsur keraguan di dalamnya.

d) Menguatkuasakan undang-undang berkaitan pembanterasan amalan khurafat. Beberapa peruntukan dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri di Malaysia boleh digunakan untuk membanteras kesalahan-kesalahan berkaitan penawaran produk atau perkhidmatan yang mempunyai unsur sihir atau unsur yang menyeleweng dari akidah Islam. Sebagai contoh, seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001[16] memperuntukan:

(1) Mana-mana orang yang memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan apa-apa cara yang menyalahi Hukum Syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi memantapkan lagi mekanisma perundangan, kajian lebih mendalam tentang isu-isu perundangan yang melibatkan amalan sihir perlu dilakukan. Langkah permulaan telah dilakukan oleh beberapa institusi bagi mencapai tujuan tersebut. Antaranya, Jabatan Mufti Selangor (JMS) telah menganjurkan Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis pada 17 Disember 2009 dan Muzakarah Pakar: Cabaran Pendakwaan Ahli Sihir di Mahkamah pada 21 Julai 2010. Kedua-dua muzakarah ini menghasilkan satu resolusi supaya kegiatan jenayah yang menggunakan ilmu sihir dibanteras melalui mekanisma perundangan. Hal yang sama turut disuarakan dalam Seminar Undang-undang Jenayah Sihir pada 10 Oktober 2010[17] dan dalam Seminar Isu-isu Semasa Mahkamah Syariah ke-12 pada 2 November 2011.[18] Beberapa kajian berkaitan undang-undang bagi menyekat amalan sihir sedang dan telah dijalankan diperingkat Sarjana dan Doktor Falsafah.[19] Selain itu, Rang Undang-undang Perubatan Tradisional dan Komplemetari bagi memantau perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia masih dalam proses untuk dibentangkan di Parlimen. Penulis berpendapat undang-undang yang bakal diwujudkan perlu mengandungi peruntukan berkaitan pemantauan dan tindakan terhadap pusat-pusat rawatan yang didapati mengamalkan kaedah rawatan yang boleh memesongkan akidah umat Islam. Ini kerana terdapat sebahagian perawat yang mengambil kesempatan atas kelemahan undang-undang yang ada sekarang.[20]

e) Menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menghasilkan tenaga pakar melalui penawaran program-program pengajian dalam bidang rawatan Islam.[21] Sehingga hari ini, terdapat 7 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia mendapat pengiktirafan dan akreditasi dari Malaysian Qualification Agency (MQA) untuk menawarkan diploma dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari.[22] Malangnya, semua kursus tersebut adalah dalam bidang perubatan tradisional Cina dan homeopati. Setakat ini, tiada satu kursus dalam perubatan Islam ditawarkan di mana-mana institusi pengajian tinggi. Justeru, kerjasama dalam bidang ini dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap perubatan Islam.

f)   Memantapkan garis panduan bagi pengamal perubatan alternatif Islam. Dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerbitkan “Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-unsur Yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah“ yang mengandungi panduan tentang kategori amalan-amalan khurafat.[23] Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menyediakan garis panduan kepada pengamal perubatan Islam yang dinamakan sebagai “Garis Panduan Amalan Pengubatan Islam“.[24] Kedua-dua garis panduan ini berupaya menjadi panduan asas kepada pengamal dan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan. Melalui usaha BPTK juga, para pengamal-pengamal perubatan Islam dihimpunkan dan mereka telah bersepakat untuk menubuhkan satu gabungan pengamal perubatan Islam yang dikenali sebagai Gabungan Persatuan Perawat Islam Malaysia atau GAPPIMA. Gabungan ini kelak akan menjadi penaung kepada persatuan-persatuan yang mengamalkan perubatan Islam yang diiktiraf.

Setelah meneliti garis panduan tersebut, penulis mendapati terdapat beberapa perkara asas yang menjadi dasar kepada amalan perubatan Islam tidak dicakupi dengan sempurna. Berikut adalah beberapa perkara asas yang dicadangkan bagi dijadikan sebagai tambahan kepada panduan tersebut:

a)  Penggunaan terma ‘Pusat Rawatan Islam’ atau ‘Pengubatan Islam’
Bagi mengawal penggunaan istilah perubatan Islam, maka pihak berkuasa agama perlu memastikan terma tersebut digunakan dengan cara yang betul dan tidak mengelirukan. Mana-mana individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa bahawa kaedah rawatan dan pengubatan mereka adalah berasal dari Islam melainkan mereka dapat membuktikan bahawa:

  •    Kaedah tersebut mempunyai dalil-dalil yang kukuh dari al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama atau Qiyas.
  •     Kaedah tersebut tidak mengandungi unsur amalan sihir, ilmu hitam, tilik, tenung, tukang nujum, ramalan tapak tangan, silap mata atau yang seumpamanya.
  •    Kaedah tersebut diterima secara bersemuka dengan guru yang mahir, bukan melalui mimpi, bisikan, ilham, penjelmaan roh, menurun, bertapa, bacaan dari buku atau yang seumpamanya.
  •     Kaedah tersebut tidak menetapkan syarat atau pengeras yang tertentu, atau yang bertentangan dengan syariat.
  •     Kaedah tersebut tidak mengandungi kepercayaan atau perbuatan berunsur syirik seperti semah pantai, sembelihan binatang, buang ancak atau yang seumpamanya.
  •     Kaedah tersebut tidak mengamalkan bacaan tertentu yang menggunakan unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluk ghaib dalam acara perubatan.
  •     Kaedah tersebut tidak bertentangan dengan mana-mana hukum syariat, akidah dan akhlak.    

b)  Syarat kelayakan perawat
Dari segi syarat kelayakan perawat pula, pihak berkuasa agama perlu memantau latar belakang pendidikan dan sahsiah perawat. Mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan kaedah rawatan dan pengubatan Islam perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  •  Perawat hendaklah seorang yang beragama Islam, aqil dan baligh serta memahami apa yang diucapkannya.
  •   Perawat hendaklah mempunyai kelayakan akademik sekurang-kurangnya:
                                     i.   Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM); atau
                                    ii.   Diploma dalam mana-mana bidang; atau
                                   iii.   Menamatkan pembelajaran di mana-mana pusat pengajian  
                                          atau bimbingan agama untuk tempoh 4 tahun.

             atau mendapat pengiktirafan dari badan berkuasa sama ada:
                                   i.  Sijil tauliah dari mana-mana pegawai agama daerah; atau
                                  ii.  Surat lantikan sebagai seorang yang mempunyai kefahaman 
                                       agama dari mana-mana badan yang diiktiraf; atau
                                 iii.  Apa-apa sahaja bukti yang boleh menunjukkan bahawa beliau 
                                       seorang yang mempunyai asas dan pegangan agama yang kuat.

  • Perawat mestilah seseorang yang dikenali bersifat dengan sifat-sifat mahmudah.
  •  Perawat diketahui tidak terlibat dalam perkara-perkara yang boleh membawa syirik.
  • Perawat diketahui tidak meninggalkan ibadat-ibadat wajib dalam Islam.
  • Perawat diketahui tidak melakukan apa-apa bertentangan dengan undang-undang negara.
  • Perawat diketahui tidak memecahbelahkan masyarakat dan keluarga.
  • Perawat diketahui tidak mentafsir ajaran agama Islam mengikut hawa nafsu atau fikiran sendiri.
  • Perawat diketahui tidak memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti sihir, ilmu hitam dan menurun.
  • Perawat diketahui tidak bersahabat atau bekerjasama dengan makhluk ghaib seperti jin sekalipun jin Islam, dalam proses rawatan.
  • Perawat diketahui tidak melakukan sebarang bentuk tilikan, ramalan, tenung nasib, atau ramalan tentang buruk atau baik pada masa akan datang dan lain-lain.
  • Perawat diketahui tidak mendakwa mengetahui, melihat atau mendengar perkara-perkara yang ghaib.
  • Perawat hendaklah menjalankan rawatan dengan ikhlas hati, semata-mata mencari keredhaan Allah S.W.T.

KESIMPULAN
Isu kepenggunaan Islam bukan hanya berkisar persoalan halal haram sesuatu produk atau perkhidmatan, tetapi juga perlu menitik beratkan soal kesucian akidah pengguna dari unsur-unsur syirik. Kegagalan mematuhi status halal dan haram sesuatu produk atau perkhidmatan masih tergolong dalam kategori dosa-dosa yang diampuni, sedangkan kegagalan memelihara akidah adalah suatu dosa besar yang tidak akan diampuni oleh Allah SWT berdasarkan firmanNya dalam surah An Nisa, ayat 48:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan Dia akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

Bermaharajalelanya perawat-perawat alternatif melakukan rawatan yang bertentangan dengan ajaran Islam menimbulkan impak yang negatif dalam masyarakat. Kebejatan ini seolah-olah tidak mendapat perhatian dari pihak-pihak berwajib. Semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai hab halal di Asia perlu diunjurkan kepada usaha-usaha menjaga akidah dan syariat Islam dari diseleweng oleh perawat-perawat yang tidak bertanggungjawab ini. Insititusi-institusi pentadbiran dan perundangan Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan agama Islam negeri dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) seharusnya lebih terkehadapan dalam mendepani isu ini kerana ianya melibatkan aspek perundangan Syariah dan juga akidah ummah. Melalui usaha ini, penulis berkeyakinan Malaysia selayaknya diiktiraf sebagai hab halal bagi semua jenis produk dan perkhidmatan.



[1] Pengarah, Pusat Pengajian Islam, Kolej Antarabangsa IKIP, Kampus Taman Pertanian, 25200 Kuantan. Tel: 09-5736888, Fax: 09-5736999, Email: mahyuddin@ikip.edu.my.
[2] Pembiayaan bagi sektor industri kecil dan sederhana yang terlibat dalam industri halal melalui geran yang dikenali sebagai SMEC’s Halal Development and Promotions Grant.
[3] Halal Industry Development Corporation ditubuhkan pada 18 September 2006 yang dibantu oleh agensi di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri seperti Malaysian Industrial Development Authority (MIDA), Malaysian External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Small and Medium Enterprises Corporation (SMEC).
[4] Antara latihan dan program yang dijalankan oleh HDC ialah Halal Awareness Programme (HAP), Halal Industry Programme (HIP) dan Halal Professional Programme (HPP), Malaysian International Halal Showcase (MIHAS), Program MATRADE–MIHAS Incoming Buying Mission.
[5] MISC Integrated Logistics Sdn. Bhd. (MILS) menyediakan kemudahan pengurusan logistik yang memenuhi standard halal.
[6] HDC telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti dan institusi bagi membangun modul serta menyediakan program latihan eksekutif halal. Antaranya ialah Victoria University of Wellington, New Zealand dan University of Maryland, USA, Institut Keusahawanan Negara, Bahagian Politeknik kementerian Pengajian Tinggi, Institute of Halal Research & Management (IHRAM), USIM.
[7] HDC juga menjalinkan perkongsian strategic dengan TPM Biotech Sdn Bhd (TPMB) bagi menformulakan Halal Laboratory Standard. Selain itu, HDC juga telah bekerjasama dengna Bahagian Halal JAKIM bagi menyediakan kemudahan kepada mereka yang menceburkan diri dalam industry halal. HDC turut bekerjasama dengan pakar-pakar dalam bidang tertentu seperti UPM dan wakil industry seperti UNZA dan Colgate Palmolive.
[8] Akta Makanan 1983, Akta Perihal Dagangan 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975 dan Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan Halal) 1975 dan enakmen kesalahan jenayah syariah negeri-negeri.
[9] William Shaw, 1975, Aspects of Malaysian magic, Kuala Lumpur, Muzium Negara, hlm. 49.
[10] Data diperolehi dari Unit Pendaftaran Pengamal Tempatan, Bahagian Perubatan Tradisional dan Kompelmentari (BPTK) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
[11] http://tcmonline.moh.gov.my/tcmonline
[12] Penjelasan lanjut tentang perkara ini dihuraikan dalam halamn 5.
[13] Al Qur’an, an Naml, 18-19.
[14] Al Qur’an, Saba, 12-13.
[15] Al Qur’an, Al Baqarah, ayat: 102
[16] Peruntukan yang sama dapat dilihat dalam seksyen 4 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Bezanya denda di Selangor ialah RM3000 atau penjara 2 tahun.
[17] Seminar yang dianjurkan bersama oleh Kolej Antarabangsa IKIP, Yayasan Pahang dan Jabatan Kehakiman Syariah Pahang telah dijadikan antara tajuk utama oleh akhbar tempatan dan siaran berita di televisyen pada 11 Oktober 2011.
[18] Seminar tersebut dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memberi perhatian tentang isu penggunaan ilmu hitam dalam kes-kes kekeluargaan. Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah “Sihir sebagai bukti pembelaan dalam kes-kes keluarga dan harta”.
[19] Sebagai contoh, penulis telah menghasilkan tesis Ph.D yang bertajuk “Penggunaan Ilmu Sihir dalam Kegiatan Jenayah di Malaysia: Keperluan kepada Pembanterasan Melalui Mekanisma Perundangan” pada tahun 2010 dan kini ia telah dicetak dalam bentuk buku bertajuk “Ahli Sihir ke Tali Gantung” oleh PTS Milenia Sdn. Bhd.
[20] Terdapat pusat-pusat rawatan yang telah diserbu beberapa kali dan pengamalnya juga telah didakwa di mahkamah, tetapi mereka tetap berdegil dan masih mengulangi kesalahan yang sama.Sebagai contoh, Pusat Rawatan Keraton yang menjalankan pembedahan batin telah diserbu pada tahun 2009 dan telah diarah tutup. Namun, orang yang sama telah membuka pusat rawatan baru di Johor Bharu dan ditangkap pada 2010. Pada masa yang sama, anaknya pula membuka pusat rawatan yang sama di Sabah.
[21] Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan kerjasama KKM telah menyediakan panduan kepada mana-mana IPT untuk menjalankan kursus berkaitan rawatan tradisional di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
[22] IPT tersebut adalah Southern College, Tunku Abdul Rahman University, INTI International University College, Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Malacca Colege of Complementary Medicine, Management and Science University (MSU) and International Medical University (IMU).
[23] www.islam.gov.my/sites/default/files/garisan_panduan_bercetak_2.pdf  [Lihat pada 1 Disember 2011]
[24] Diterbitkan pada September 2011.