PENGENALAN

REFLEKSOLOGI ISLAM

Kita bukan hanya pernah mendengar, tetapi juga telah mengetahui sedikit sebanyak mengenai kaedah perubatan refleksologi. Besar kemungkinannya ada di antara kita yang pernah menyaksikan dan menerima khidmat rawatan kaedah refleksologi. Pada asasnya kaedah rawatan refleksologi menggunakan tekanan bahagian-bahagian tubuh tertentu dengan benda-benda yang keras, kayu, tanduk dan sebagainya lagi. Pesakit yang sedang menerima raatan akan merasa sakit sangat. Kadang-kadang pesakit terasa tidak tertanggung sama sekali.

Perubatan refleksologi tersebut berasal dari negeri China, tetapi mula dikembangkan dan dipopularkan oleh seorang bangsa Swiss, Dr Hedi Masafret yang terkenal dengan polikliniknya “Center For Fitness Training”. Kemudian kaedah ini terus tersebar ke merata dunia.

Kaedah perubatan Refleksologi Islam adalah berasal dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang kemudiannya diadun dan dirumuskan menjadi salah satu kaedah perubatan tradisional Islam yang sangat istimewa dan dapat membantu menyembuhkan berbagai penyakit dengan segera, berkesan dan tidak membebankan kos yang tinggi.

Bagaimanapun istilah “Refleksologi” itu sahaja kita sengaja pinjam, tanpa kaedah-kaedah rawatannya. Kalau terdapat ada ciri persamaannya itu secara kebetulan sahaja.

Kaedah perubatan refleksologi Islam merangkumi ciri-ciri yang di sebutkan di bawah ini. Ciri-ciri tersebut dengan sendirinya dapat membezakan antara kaedah refleksologi biasa dengan refleksologi Islam.

a)    Asas utama refleksologi Islam ialah kebersihan zahir dan batin. Pada zahir berdasarkan syariat Islam yang sebenar. Pada batin mengikut akidah Ahli Sunnah wa Jama’ah. Akidah Ahli Sunnah wa Jama’ah memandang adanya tiga hubungan iaitu sabab ( سبب ), musabbab        ( مسبَّب ) dan musabbib ( مسبِّب ). Misalnya ubat dan rawatan adalah sebab, sembuh penyakit yang diubati adalah musabbab. Kehendak, ketentuan dan kekuasaan Allah yang menyembuhkan penyakit itu adalah musabbib al-Asbab. Allah berfirman:

Maksudnya: “Kalaulah ada sesuatu bacaan yang dengan sebabnya gunung-gunung pecah bergerak dari tempatnya atau dengan sebabnya bumi terbelah atau dengan sebabnya orang yang telah mati boleh bercakap, bahlkan segala urusan tersebut hanya bagi Allah”.
(Surah al-Ra’d: ayat 31)


b)   Selaras dengan asas yang disebutkan di atas maka refleksologi Islam ini diperkasakan lagi dengan sembahyang sunat taubat dan sunat hajat. Dalam sembahyang sunat taubat, keampunan dari Allah diminta semoga Allah ampunkan semua dosa pesakit dan dosa-dosa diri, biar macam mana banyak dan besarnya dosa yang dilakukan. Dalam sembahyang hajat diharapkan agar segerakan dan permudahkan sembuh penyakit yang ditanggung oleh pesakit.

c)    Pukulan atau ketukan secara perlahan-lahan dengan ranting kayu yang kecil dari pokok buah nona.

d)   Tepukan tapak tangan secara perlahan-lahan.

e)    Tekanan hujung ranting kayu nona yang digunakan mengetuk memukul atau tekanan ibu jari tangan yang lain atau menggunakan biji lada hitam, limau nipis atau bawang besar.

f)  Tarikan kulit tubuh atau anggota pesakit, picitan bahagian-bahagian tertentu tubuh pesakit dengan tangan.

g)    Melumurkan anggota yang akan dirawat dan sesudah dirawat dengan air cuka yang telah disebatikan dengan garam halus dan air doa.

h)   Memandikan pesakit yang telah dirawat dengan air biasa. Kemidian dibilas dengan mandian air batu yang dicampur dengan air perahan limau nipis.

i)     Disebatikan dengan iringan dhikrullah, doa dan bacaan ayat-ayat al-Quran ketika melakukan rawatan yang biasanya dibaca dalam hati atau perlahan-lahan.


MENGAPA DIPINJAM ISTILAH REFLEKSOLOGI


    Istilah refleksologi diguna pakai dalam kaedah perubatan tradisional Islam ini, semata-mata untuk memudahkan orang ramai memahami dan menerimanya. Bukan hanya mudah memahami kaedahnya sahaja tetapi juga mudah menerima berbagai perkara yang berkaitan dengannya. Misalnya, keberkesanan rawatan yang diberikan dalam menyembuh penyakit, rasa sakit yang mesti ditanggung oleh pesakit dengan yakin, tabah dan sabar, berbagai teknik rawatannya, kebenarannya dan sebagainya lagi.

    Jika digunakan istilah pukulan atau ketukan atau sebatan, tentu akan menimbulkan masalah bagi mereka yang kali pertama mendengarnya. Istilah-istilah tersebut pernah dipakai dan memang menimbulkan berbagai persoalan bagi pesakit yang baru mendengarnya. Sekurang-kurangnya mereka menyangka pukulan atau sebatan itu tentu kuat dan tentu menyakitkan yang mungkin mereka tidak akan tertanggung. Ada juga mereka yang membayangkan sebatang rotan seperti yang dilakukan terhadap penjenayah. Penggunaan istilah refleksologi ini tidaklah bermakna kaedah perubatan ini ditiru dari keadah refleksologi biasa. Atau kaedah perubatan ini merupakan serpihan atau tiruan dari kaedah refleksologi biasa, sebab kaedah perubatan ini mempunyai sumbernya yang jelas iaitu al-Qur’an dan sunnah serta telah menjadi amalan para al- Salaf al-Soleh.

     Istilah Refleksologi  yang digunakan  disini adalah berbeza dengan istilah sistem perubatan refleksologi yang telah digunapakai secara meluas sebagai suatu kaedah perubatan. Maksud refleksologi yang ambil sebagai tajuk disini adalah untuk lebih memberi fokus kepada pengertian literal maksud refleksologi itu sendiri, iaitu ‘ilmu tindakbalas’. Istilah ini akan mendekatkan kefahaman umum tentang maksud sebenar refleksologi islam yang cuba dibentangkan oleh penulis.

No comments:

Post a Comment