Wednesday, September 19, 2012

PEMULIHAN SECARA SPIRITUAL DALAM PROSES ISTITABAH

PERSIAPAN DIRI PERAWAT

Usaha untuk menghalang seseorang islam yang hendak murtad, begitu juga usaha mengembalikan seseorang yang telah murtad ke pangkuan islam adalah satu usaha dakwah yang paling mulia tetapi ianya sangat berat dan sangat sukar untuk dilakukan. Oleh itu bukan semua ilmuan islam mampu melaksanakan tugas tersebut. Ramai ulama’ Tasawwuf menegaskan bahawa, masalah dakwah bukan hanya masalah orang yang menjadi sasaran dakwah, tapi ianya juga merupakan masalah pendakwah itu sendiri. Perawat hendaklah mempunyai ilmu bukan hanya di lidah, tetapi mestilah ilmunya ada di hati, roh dan sir. Pendakwah yang mempunyai ilmu yang lengkap seperti ini mempunyai keupayaan berdakwah dan kesan dakwahnya sangat baik. Inilah pendakwa yang benar-benar dapat memenuhi kretirian pendakwah yang disebutkan di dalam Al-quran. 

Allah berfirman maksudnya:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Al-Nahl: 125)

Allah menegaskan bahawa hanya orang yang hatinya di hidupkan oleh Allah, dan dilimpahkan cahaya hidayat sahaja yang mampu menyampaikan kebenaran Allah dalam masyaratkat manusia. Allah berfirman:

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).”
(Al-Anam: 122)

Rasulullah (SAW) ada menjelaskan beberapa tanda yang menunjukkan pendakwah yang mempunyai kemampuan yang tinggi dengan sabdanya:

Maksudnya:- “(Sebaik-baik orang yang kamu jadikan guru yang selalu kamu dampingi) Ialah orang yang menjadikan kamu ingat Allah bila kamu memandangnya. Kata-katanya menambahkan ilmu kamu, dan amal perbuatannya mendorongkan hati kamu gemar kepada Akhirat.”

Dengan ini maka perawat hendaklah mempunyai sifat ketaqwaan yang benar-benar memenuhi kehendak Allah dalam firmanNya:

Maksudnya: 

“Wahai orang-orang beriman hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa”
(Al-Baqarah: 132)

Murid-murid Imam Ahmad Ibnu Hambal diriwayatkan bila berdakwah dirasakan oleh orang ramai kurang berkesan, Sedangkan dakwah yang di lakukan oleh Imam Ahmad Ibnu Hamba Besar pengaruhnya. Bila di telitikan didapati sifat-sifat ketaqwaan murid-murid Imam Ahmad Ibnu Hambal Lemah dan Sangat jauh dengan ketaqwaan gurunya itu.

Perawat juga mestilah mengetahui secara mendalam rahsia yang berkaitan dengan ilmu dan amalan sihir. Sebab sesetengah orang yang murtad atau hendak murtad adalah kesan dari pada kejahatan sihir. Sememangnya dalam gerakan mubaligh-mubaligh kristian ada di tubuhkan satu cabang khas yang di tugaskan memperlajari ilmu dan amalan sihir untuk digunakan bagi mempengaruhi orang-orang islam bagi memeluk Kristian. Demikian juga mubaligh-mubaligh Hindu Buddha ada juga menggunakan sihir bagi mempengaruhi dan mengelirukan orang-orang Islam sehingga akhirnya mereka memeluk agama Hindu secara senyap-senyap.

Perawat juga hendaklah mempunyai pengalaman yang secukupnya. Terutamanya pengalaman dalam membantu dan merawat mereka yang telah murtad atau yang hendak murtad. Tanpa pengalaman yang secukupnya, berbagai rahsia yang sulit yang di hadapi oleh orang yang hendak dirawat tidak akan dapat di bongkar, dan usaha rawatan akan gagal.

Perawat mestilah berpegang teguh dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, terutamanya dalam tiga hubungan sebab, sebab musabab dan musabbib al-asbab. Dalam hubungan ini perawat hendaklah mengiktiqadkan hanya Allah sahaja yang memberikan hidayat dan mengembalikan orang yang murtad kepada islam. Segala usaha perawat hanyalah sebab, sebab tidak boleh di jadikan pergantungan. Allah berfirman :-

“Setelah diketahui demikian maka tidaklah patut disamakan Allah Tuhan yang berkuasa mengawas, tiap-tiap diri dan mengetahui akan apa yang telah diusahakan oleh diri-diri itu, (dengan makhluk yang tidak bersifat demikian). Dalam pada itu, mereka yang kafir telah menjadikan beberapa makhluk sebagai sekutu bagi Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): "Namakanlah kamu akan mereka (yang kamu sembah itu). Atau adakah kamu hendak memberi tahu kepada Allah akan apa yang tidak diketahuiNya di bumi? Atau adakah kamu menamakannya dengan kata-kata yang lahir (sedang pada hakikatnya tidak demikian)?" Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan oleh Iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu daya mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.”
(Ar-Ra'ad: 33)

Akhir sekali perawat mestilah sentiasa membanyakan sembahnyang taubat untuk diri dan untuk mereka yang telah murtad atau yang ingin murtad. Dalam hubungan sembahyang taubat ini, perawat hendaklah meminta keampunan dari pada Allah dan juga untuk mereka yang telah murtad atau yang akan murtad tersebut, Walau sebesar manapun dosa walau sebanyak manapun dosa yang telah dilakukan. Sesudah itu hendaklah di ikuti dengan sembahyang sunat hajat, dengan ditumpukan supaya Allah setiasa mencurahkan rahmat Taufiq dan hidayatnya kepada diri dan mereka semua, kaedah ini di dasarkan kepada sunnah dan di pakai terus oleh orang – orang sufi. Apa bila orang –orang kuraish menolak Islam sehingga memaksa nabi berhijrah ke madinah, Nabi tetap mendoakan mereka dengan doa yang terkenal. Maksudnya “Ya Allah berikanlah Hidayat kepada kaumku, kerana mereka itu tidak tahu yang Hak”


PEMERIKSAAN DAN DIAGNOSIS

Perawat mesti melakukan pemeriksaan, fizikal orang-orang yang telah murtad atau hendak murtad. Tujuan pemeriksaan fizikal tersebut ialah untuk menentukan dan memahami berbagai masalah mental dan spiritual mereka. Dengan pemeriksaan yang teliti dan tepat, InsyaAllah mereka yang telah murtad atau ingin murtad dapat di diagnosiskan keadaan fizikal, mental dan spiritualnya.

Penulis telah dapat satu kaedah pemeriksaan yang baik dan memuaskan yang di dasarkan pada pandangan Imam Ghazali yang terdapat di dalam kitab Ihtiak Ululmiddin. Menurut Imam Ghazali Bahawa walaupun manusia tidak nampak Jin dan Syaitan, namun kita boleh mengetahui adanya Jin dan Syaitan yang telah mempengaruhi mental, fizikal dan spiritual manusia dengan cara menelitikan kesan-kesannya.

Menurut Iman Ghazali antara kesan-kesannya bila wujudnya keadaan yang luar biasa, sama ada pada fizikal, mental mahupun spiritualnya. Demikian juga kesan yang luar biasa pada perasaan, percakapan dan sifat-sifat peribadinya. Pemeriksaan yang penulis gunakan juga di dasarkan diatas hakikat bahawa Jin dan Syaitan adalah makhluk yang hidup, berakal, bernafsu dan bertubuh halus seperti angin yang tidak dapat dilihat. Apa bila masuk ke tubuh manusia maka mudah bagi kita untuk mengesannya, cara mengesannya ialah dengan cara menelitikan suhu badan seseorang yang telah murtad atau mahu murtad dengan pengalaman dan latihan secukupnya dengan menggunakan tapak tangan di sentuhkan ke mana-mana bahagian tubuh pesakit makan akan kita rasa suhu badan terutamanya panas sejuk tidak sema, ada bahagian yang sejuk dan ada bahagian yang panas. Ini menunjukan orang tersebut tubuhnya telah diserapi oleh syaitan atau Jin. Kaedah lain ialah dengan cara memicit bahagian-bahagian tubuh tertentu seperti di bawah kedua-dua telinga kanan dan kiri, bawah dagu, atas bahu, bawah ketiak, di lengan kiri dan kanan, di pangkal peha, di pinggang, di bahagian atas tengah dan bawah perut, di lutut kiri dan kanan dan juga jari-jari kedua kaki. Pemeriksaan juga boleh dilakukan dengan menjentik anak-anak jari tangan dan kaki. Pemeriksaan juga boleh dilakukan dengan mencium bau nafas orang yang murtad dan akan murtad. Biasanya bau nafasnya busuk atau hanyir dan bau-bau lain yang tidak menyedapkan. Kadang-kadang sedang pemeriksaan seperti tersebut dilakukan, orang yang murtad atau hendak murtad itu tidak sedar diri sehingga kita boleh berdialog dengan Jin atau syaitan yang berada di dalam tubuhnya. Dari dialog tersebut dapat juga di jadikan asas maklumat bagi menentukan faktor utama mengapa orang tersebut murtad atau mahu murtad.

Related Posts     Tags

KEKELIRUAN MASYARAKAT DALAM RAWATAN SPIRITUAL ISLAM


KEKELIRUAN MASYARAKAT DALAM RAWATAN SPIRITUAL ISLAM

oleh: 
YBhg Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek
Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah

PENDAHULUAN 

Di akhir-akhir ini pusat-pusat Rawatan Spritual Islam (RSI) tumbuh macam cendawan selepas hujan. Berbagai cerita sensasi mengenai RSI memenuhi dada akhbar dan majalah. Slot-slot mengenai RSI juga mengisi ruang kaca TV. RSI terus memainkan peranan penting di samping perubatan allopathy. Dalam keghairahan masyarakat memberi sambutan terhadap RSI, majoriti mereka tidak sedar telah terlibat dengan amalan yang sangat bercanggah dengan lunas-lunas Islam, akidah dan syariat hingga menjerumuskan mereka ke lembah perkara-perkara yang sangat diharamkan dan syirik.
Antara unsur-unsur yang terpenting ialah penggunaan jin, syaitan, berbagai jenis sihir termasuklah pukau,hipnosis, kaedah-kaedah perbomohan seperti pengeras, pantang larang yang pelik, mengalin, merambas, puja hajat, membuang ancak, simah-menyimah, penggunaan tenaga dalaman, tenaga aura, reiki, berbagai macam tilikan, air jampi, tangkal azimat, benda-benda yang najis lagi diharamkan dan sebagainya.

KAEDAH PERBOMOHAN

Sesetengah perawat yang bergelar ustaz atau ustazah sememangnya mempelajari kaedah rawatannya daripada bomoh atau pawang yang terkenal, khasnya dalam famili masing-masing seperti ibu bapa atau datuk nenek. Berbagai kaedah perbomohan yang dipelajari dan diwarisi itu seolah-olah dilupakan oleh masyarakat kerana ditutupi oleh keterampilan dan ketokohan ustaz dan ustazah tersebut. Masyarakat yakin RSI yang ditawarkan itu adalah benar-benar tulin mengikut lunas-lunas Islam. Bila ada orang yang menyedari latar belakang sejarah rawatan mereka, maka sesetengah mereka segera melontarkan jawapan dengan mengakui bahawa kaedah rawatannya memang dipelajari daripada bomoh atau pawang. Kononnya syaitan atau jin pawang itu telah dipisahkan dengan cara bersumpah oleh kedua-dua pihak. Jadi, yang dipelajari hanya kaedah rawatan tanpa jin dan syaitannya.
Kita juga boleh memastikan kaedah RSI yang ditawarkan oleh seseorang adalah salah dan mengandungi unsur perbomohan, apabila ianya dipelajari menerusi cara-cara berikut:

  1. Tiba-tiba pandai merawat berbagai penyakit tanpa belajar.
  2. Pandai merawat setelah didatangi oleh orang yang tidak dikenali ketika beribadat atau berdoa yang mengaku sebagai wali Allah atau tokoh-tokoh agama yang terkenal seperti shaikh Abdul Qadir al-Jilani atau seorang nenek tua atau seorang panglima atau sebagainya.
  3. Pandai merawat penyakit kerana diajar seseorang di dalam mimpi.
  4. Dapat kaedah rawatan menerusi bisikan suara.
  5. Pandai merawat setelah mendapat benda-benda ganjil seperti besi kuning, batu permata, keris, badik, buloh tumpat dan sebagainya.
  6. Rawatan yang ditawarkan kononnya didasarkan kepada kekuatan tenaga dalaman, tenaga aura, tenaga reiki, jurus, jabat dan lain-lain.
  7. Kaedah rawatan dipelajari dari kuil-kuil hindu, gereja, pagoda dan lain-lain.


PENGGUNAAN JIN DAN SYAITAN

Islam melarang keras penggunaan jin dan syaitan dalam rawatan dan apa juga bidang kehidupan. Penggunaan jin dan syaitan begitu meluas dan popular di kalangan para perawat di zaman jahiliyah. Mereka dikenali dengankahin (jika lelaki) dan  kahinah (jika perempuan). Tukang-tukang tilik yang dikenali dengan al-munajjim ataual-‘arraf juga menggunakan khidmat syaitan dan jin. Rasulullah pernah dituduh oleh pemimpin-pemimpin Quraisy sebagai seorang kahin yang sentiasa di dampingi oleh jin atau syaitan. Allah nafikan tuduhan tersebut dengan firmannya yang bermaksud:
Maka hendaklah engkau (wahai Muhammad) tetap tekun memberi peringatan (dengan ajaran-ajaran Al-Quran), kerana engkau dengan nikmat Tuhanmu bukanlah seorang kahin (pawang, bomoh, dukun) dan bukan pula seorang gila (dirasuk oleh jin).  -al-Tur: 29-
Allah memberi amaran yang sangat keras bagi golongan manusia yang tersebut dengan firmanNya yang bermaksud:
Dan (ingatlah) di hari kiamat yang padanya Allah akan himpunkan mereka semua (manusia, jin dan syaitan), (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin dan syaitan! Sesungguhnya kamu telah menyesatkan ramai manusia”. Dan berkatalah pula manusia yang menjadi rakan kongsi jin dan syaitan: “Wahai Tuhan kami, ketika kami di dunia, kami tolong-menolong, bantu-membantu. Sebahagian kami telah mendapat berbagai kesenangan  begitu juga jin dan syaitan yang menjadi rakan kongsi kami, mereka juga dapat berbagai kesenangan. Dalam keadaan demikian tiba-tiba ajal kami yang Engkau tetapkan sampai (kami mati tanpa bertaubat). (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”. -al-An’am: 128-

MENGENAL PENGGUNAAN JIN DAN SYAITAN

Masyarakat tidak tahu samada rawatan yang diterima melibatkan khidmat syaitan dan jin atau tidaknya. Ada beberapa cara yang mudah digunakan untuk mengetahui secara pasti adanya penggunaan makhluk halus itu.  Antaranya adalah seperti berikut:

PERTAMA: 
PENGGUNAAN BERBAGAI JENIS SIHIR, termasuklah pukau dan hipnosis. Unsur-unsur sihir boleh kita ketahui dengan mudah dengan melihat berlakunya perkara-perkara yang luar biasa seperti kebolehan merawat, mengeluarkan berbagai benda dari tubuh pesakit seperti batu, kaca, jarum, rambut, dawai, boleh mengambil alat-alat sihir seperti patung yang dicucuk-cucuk dari jarak jauh, pembedahan batin dan sebagainya. Semua perkara yang luar biasa dan menakjubkan yang dilakukan oleh perawat bukanlah karamah atau ma’unah.

PERBEZAAN SIHIR DENGAN KARAMAH ATAU MA'UNAH

  1. Dari sudut kekerapan atau tidaknya kejadian itu sendiri. Jika kerap dan selalu atau sentiasa berlaku hingga menjadi sifat dan kebolehan seseorang maka itu adalah sihir atau istidraj.
  2. Sihir boleh diprogramkan. Karamah atau ma’unah tidak boleh diprogramkan kerana datangnya daripada Allah.
  3. Sihir boleh hilang dengan sesuatu sebab. Karamah atau ma’unah tidak boleh hilang dengan sesuatu sebab. Pantang larang dalam perbomohan ada kaitannya dengan masalah ini.
  4. Sihir berlaku satu macam sahaja atau sama sahaja. Misalnya, barang yang keluar dari tubuh pesakit serbuk kaca atau dawai atau paku tidak boleh bertukar`benda lain.
  5. Ada sihir yang hanya boleh berlaku pada waktu-waktu tertentu sahaja, oleh sebab itu khidmat rawatan yang diberi pada waktu tertentu sahaja.

KEDUA: 
PENGERAS yang dianggap oleh masyarakat sebagai satu amalan adat kebiasaan berubat sahaja tidak ada maksud-maksud tersembunyi dan tidak menyalahi akidah dan syariat. Sebenarnya pengeras adalah haram dilakukan kerana boleh menyebabkan seseorang syirik. Pengeras pada hakikatnya adalah syarat yang ditetapkan oleh syaitan atau jin. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w bersabda: seorang (mukmin) masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang (mukmin) yang lain masuk neraka kerana seekor lalat. Para sahabat bertanya: bagaimana boleh begitu ya Rasulullah. Rasulullah menjawab dengan sabdanya: dua orang (mukmin) lalu di satu kawasan yang didiami oleh satu kaum yang menyembah sebuah berhala, sesisapa pun tidak dibenarkan melintasi kawasan mereka itu tanpa membuat sesuatu pemujaan atau penyembahan (terhadap berhala). Mereka berkata kepada salah seorang: buatlah satu penyembahan. Orang itu menjawab dengan katanya: aku tidak mempunyai apa-apa untuk aku persembahkan. Mereka berkata: buatlah penyembahan walaupun dengan seekor lalat. Lalu dia meletakkan bangkai seekor lalat. Lalu dibenarkannya untuk melintasi kawasan tersebut. Orang tersebut akhirnya masuk ke neraka. Mereka berkata kepada seorang yang lain: buatlah penyembahan. Orang yang kedua ini  berkata: aku tidak akan membuat penyembahan sesuatu pada sesiapa sahaja selain daripada Allah Azza Wajalla. Mereka pun memenggal lehernya. Maka dengan itu dimasukkan ke dalam syurga.

KETIGA: 
TILIKAN. Amalan tilik menilik adalah dilarang keras di dalam Islam. Tiada siapa yang tahu perkara ghaib kecuali Allah. Allah berfirman yang bermaksud:
Katakanlah (Ya Muhammad): Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!”. -al-Naml: 65-
Rasulullah s.a.w pun tidak tahu yang ghaib. Allah berfirman yang bermaksud:
Katakan (ya Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku boleh membuat banyak kebaikan dan (tentulah) aku tidak ditimpa keburukan. -Al-A’raf: 188-
Nabi bersabda yang bermaksud:
Bohonglah tukang-tukang tilik walaupun kata-katanya benar.
Berbagai cara tilikan telah digunakan oleh perawat;

  1. Dengan cara memandang muka pesakit atau mana-mana bahagian tubuh badan, lalu disebutkan: “awak ni kena sihir”, atau “dalam badan awak ni ada 60 ekor jin dan dalam rumah awak pun ada 150 ekor jin”, atau “awak ni tak kena apa-apa, sakit biasa saja”.
  2. Dengan mengira huruf nama pesakit dan ibunya lalu dikatakan: “awak kena sihir santau”.
  3. Dengan cara sembahyang hajat serta berdoa. Selepas tu diberitahu: “awak kena sihir”.
  4. Dengan memejamkan mata dan tafakkur dan kemudian disebutkan: “awak ni kena sihir sudah lama tapi awak tak sedar”.
  5. Dengan cara memotong limau, mencalitkan kapur di dahi, dengan melihat menerusi daun sirih yang dijampi atau daun sirih yang diletakkan di dahi.
  6. Dengan cara melihat garis-garis tapak tangan.
  7. Dengan menggunakan batang mancis yang ditabur lalu dipilih satu dua oleh pesakit lalu disebutkan: “awak kena sihir, yang sihirkan bukan orang lain, adik awak sendiri”.
  8. Dengan menggunakan tasbih yang berpusing-pusing.
  9. Dengan menggunakan al-Quran.
  10. Dengan menggunakan jari telunjuk untuk mencari penyakit dan ayat-ayat al-Quran yang sesuai untuk digunakan bagi merawat pesakit.
  11. Dengan menggunakan bisikan di telinga.
  12. Dengan menggunakan asap rokok.
  13. Dengan menggunakan cara menurun.
  14. Dengan menggunakan keris atau apa-apa senjata.
  15. Dengan cara bakar kemenyan.
  16. Dengan cara puja hajat.
  17. Dengan cara alin telur dan sebagainya.

KEEMPAT: 
TANGKAL AZIMAT. Penggunaannya begitu meluas dalam RSI. Biasanya tangkal azimat dibuat oleh pawang, bomoh, dukun dan mereka yang seumpamanya. Yang lebih mengelirukan masyarakat, orang alim seperti ustaz atau ustazah, tuan-tuan guru dan kiyai terlibat juga dalam kegiatan membuat tangkal azimat. Untuk meyakinkan orang ramai mereka mendakwa yang mereka buat itu bukan tangkal azimat tetapi ta’widh, wafa’, istighathah, isti’anah dan sebagainya yang dibuat daripada ayat al-Quran semata-mata. Kononnya semua itu sebagai satu ikhtiar sahaja dan bertujuan untuk mendapat keberkatan dan perlindungan daripada ayat-ayat al-Quran yang ditulis. Kononnya khalifah Umar al-Khattab pernah menulis ayat al-Quran digantung dileher kanak-kanak sebagai ta’widh (sebagai pelindung). Sebenarnya beliau bertujuan supaya kanak-kanak yang lemah hafalannya segera dapat menghafal. Lagipun perbuatan membuat ta’widh tidak layak dihubungkan dengan seorang khalifah seperti beliau.
Berbagai jenis tangkal dengan seribu satu tujuan digunakan dalam RSI. Ada yang bertujuan untuk menjaga dari serangan sihir, jin, syaitan dan berbagai penyakit. Ada yang bertujuan untuk mengekalkan kesihatan, mengelakkan mimpi yang mengerikan, menjaga dari jangkitan penyakit di kalangan anggota keluarga dan sebagainya.
Yang lebih menakjubkan ialah apa yang mereka istilahkan sebagai pagar rumah yang kononnya boleh menjaga keselamatan rumah dari berbagai bahaya. Berbagai bahan yang digunakan untuk memagar rumah, ada yang menggunakan paku, dipakukan di sekeliling rumah, ada yang menggunakan serbuk emas yang di masukkan ke dalam buloh kemudian ditanam empat penjuru rumah, tahi besi, telur itik, telur angsa, cabang buloh, daun-daun yang berduri, kemenyan, kacang hijau yang dimasukkan ke dalam botol kemudian ditanam empat penjuru rumah, jarum, cebisan kelambu kaabah, Quran kecil, kulit kijang putih dan lain-lainnya lagi.
Kadang-kadang pagar rumah dibuat oleh beberapa orang bomoh berlapis-lapis sehingga ada yang berbelas-belas lapis. Pagar rumah seperti ini dianggap lebih kebal dan lebih power.
Memakai tangkal azimat bukan sahaja haram bahkan menyengutukan Allah. Nabi bersabda yang bermaksud:Sesiapa yang memakai tangkal azimat sesungguhnya dia telah menyengutukan Allah. Pada hakikatnya, tangkal azimat adalah merupakan simpulan sihir (al-‘Uqad). Allah berfirman yang bermaksud: (Kami juga berlindung dengan Engkau ya Allah) daripada kejahatan tiupan-tiupan ahli sihir pada simpulan sihir.    -Al-Falaq: 4- Oleh demikian, sesiapa yang memakai tangkal azimat maka dia telah sihirkan diri sendiri. Sesiapa yang membuatpagar-pagar rumah bererti dia telah sihirkan semua anggota keluarganya. Kesan buruknya akan dirasa dalam jangka masa panjang.

KELIMA: 
AIR JAMPI juga memainkan peranan penting dalam RSI yang mengelirukan masyarakat. Ia dibuat oleh pawang atau bomoh sebagai ubat yang kononnya dapat menyembuhkan penyakit. Masyarakat juga terkeliru di antara air jampi yang dibuat oleh pawang atau bomoh atau dukun dengan air penawar yang dibuat oleh orang-orang alim sebenar yang menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa ma’thurat. Air jampi sebenarnya adalah air sihir, malahan ia boleh dikatogerikan sabagai salah satu simpulan sihir, kerana ada unsur pertolongan jin dan syaitan dalam usaha membuat air jampi tersebut. Bila pawang atau bomoh atau dukun menjampi sebotol atau segelas air lalu ditiupkan ke air tersebut adalah sejenis apa yang Allah maksudkan dalam firmanNya:
(kami juga berlindung dengan Engkau ya Allah) daripada kejahatan tiupan-tiupan ahli sihir pada simpulan sihir.   -Al-Falaq: 4-
Air jampi berbeza dengan air ruqyah yang dibuat oleh orang alim lagi saleh yang tidak ada unsur sihir. Air jampi yang diminum oleh pesakit, adalah membahayakan pesakit terutama dalam jangka masa panjang. Sebenarnya bila air itu ditiup, bermakna ada jin dan syaitan yang masuk ke dalam air itu. Apabila air itu diminum maka yang masuk ke dalam perut bukan sahaja air tetapi jin dan syaitan.

KEENAM: 
TANGKAP JIN. Sesetengah pusat RSI menawarkan khidmat menangkap jin dan dimasukkan ke dalam botol. Penulis pernah menemui seorang hamba Allah yang terkenal pandai menangkap jin tetapi telah bertaubat tidak mahu melakukannya lagi, disebabkan beliau sendiri tidak pasti tertangkap atau tidak jin-jin itu. Malahan beliau merasa lebih banyak berbohong, tetapi masyarakat yakin beliau adalah penangkap jin yang bijak. Pembohongan yang lebih besar dalam masalah ini ialah sesetengah perawat mendakwa kononnya boleh menangkap jin dari jarak jauh pada bila-bila masa. Konsep penangkapan jin seperti ini adalah berasal daripada sami-sami Hindu ketika mereka mengubat pesakit  yang biasanya dilakukan di kuil-kuil. Bila jin sudah ditangkap dan dimasukkan ke botol maka botol itu akan dimasukkan ke dalam sebuah lubang yang telah disediakan di belakang kuil. Bayangkan bagaimana seseorang boleh menangkap jin yang bertubuh seperti angin. Kita cuba menangkap lipas yang lari pun tidak tertangkap.

KETUJUH: 
KHIDMAT RAWATAN DARI JARAK JAUH. Konsepnya, pesakit tidak perlu menemui perawat kerana rawatan akan dibuat secara ghaib dari jarak jauh. Rawatan akan melibatkan berbagai dakwaan oleh perawat. Antaranya, kononnya ia akan dapat mengetahui apa jenis penyakit, faktor yang menyebabkannya, rawatan yang sesuai dan berkesan. Masyarakat menganggap perawat ini sebagai wali Allah yang merawat dengan kekeramatannya. Sebenarnya bukan keramat tetapi istidraj pertolongan syaitan dan jin.

KELAPAN: 
HIPNOSIS juga kadang-kadang digunakan dalam khidmat RSI. Sebenarnya ianya adalah sejenis sihir  pukau. Ianya  sudah lama diamalkan oleh sami Hindu dan Buddha terutamanya mereka yang mengamalkan meditasi yoga. Di barat hipnosis digunakan oleh pakar ilmu jiwa bagi rawatan pesakit jiwa dengan menguasai minda bawah sedar (subconcious mind). Kita pasti ianya sejenis sihir kerana kebolehan menguasai minda bawah sedar yang boleh dianggap luar biasa telah menjadi kebolehan dan sifat ahli hipnosis itu sendiri. Ianya boleh dilakukan ke atas orang yang lemah iman dan yang tidak saleh. Sebaliknya orang yang teguh iman dan sentiasa berada dalam zikrullah, hipnosis tidak mampu menguasai minda bawah sedarnya.

Monday, April 23, 2012

PENYELEWENGAN AKIDAH DAN SYARIAT DALAM PERKHIDMATAN RAWATAN ALTERNATIF: ISU KEPENGGUNAAN & AKIDAH UMAT ISLAM



PENYELEWENGAN AKIDAH DAN SYARIAT DALAM PERKHIDMATAN RAWATAN ALTERNATIF: ISU KEPENGGUNAAN & AKIDAH UMAT ISLAM

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail[1]
LLB (IIUM), MCL (IIUM), PhD (UKM)

ABSTRAK

Kertas kerja ini bertujuan membongkar amalan-amalan perubatan alternatif dan tradisional yang menyeleweng dari ajaran Islam. Khidmat rawatan sebegini yang memperalatkan agama sebagai topeng menyebabkan umat Islam terkeliru dan terpedaya. Ketiadaan peruntukan undang-undang selain kurang penyeliaan oleh pihak berkuasa ke atas pusat-pusat rawatan menjadikan isu ini tidak diberi perhatian sewajarnya. Kertas kerja ini secara spesifik menganalisa dan menghurai bentuk-bentuk penyelewengan dalam amalan perubatan yang sering digunakan dalam proses rawatan. Analisa ini mewujudkan beberapa garis panduan yang berguna dalam usaha menyelamatkan rohani dan jasmani ummah. Kajian ini juga turut mencadangkan penggunaan mekanisma perundangan bagi menangani permasalahan ini sehingga akar umbi.


Pengenalan
Isu status halal sesuatu produk atau perkhidmatan telah mendapat perhatian yang meluas dalam kalangan masyarakat. Kerajaan juga telah meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal di rantau Asia. Demi mencapai matlamat tersebut, maka pelbagai inisiatif telah dilakukan termasuklah peruntukan bajet khas,[2] penubuhan institusi sokongan,[3] penganjuran kempen kesedaran,[4] penyediaan fasiliti[5], kursus dan latihan di institusi pengajian tinggi,[6] perkongsian kepakaran dengan institusi-institusi terpilih[7] dan juga penguatkuasaan undang-undang.[8] Institusi-institusi kewangan dan perbankan juga tidak ketinggalan dalam misi kerajaan ini. Pelbagai produk perbankan berteraskan Islam diperkenalkan bagi menarik minat dan perhatian pelanggan-pelanggan beragama Islam untuk melabur dalam institusi mereka. Semuanya bagi memastikan produk dan perkhidmatan mempunyai jaminan halal.

Namun, status halal pada produk dan perkhidmatan perubatan alternatif berjenama Islam kelihatan kurang diberi perhatian. Tiada kempen kesedaran, penerangan, garis panduan apatah lagi peruntukan dan penguatkuasaan undang-undang untuk mengawal selia penawaran perkhidmatan sebegini. Hasilnya, pelbagai pusat rawatan yang mendakwa berteraskan perubatan Islam muncul bagi menawarkan rawatan kepada pelanggannya. Dari satu aspek, fenomena ini dilihat sebagai satu perkembangan yang positif dalam dunia perubatan Islam. Namun negatifnya, terdapat sebilangan pusat rawatan ini sebenarnya tidak memenuhi tuntutan sebenar Syara’ dan mementingkan keuntungan semata-mata. Lebih membimbangkan lagi, ada sesetengahnya pula yang menyeleweng dan menyelitkan unsur-unsur sihir dalam kaedah rawatan yang dijalankan. Justeru, isu kepenggunaan produk atau perkhidmatan yang boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah perlu diberi penekanan yang lebih bagi menjamin keselamatan akidah umat Islam dunia dan akhirat.

Kertas kerja ini bertujuan membangkitkan isu penyelewengan akidah dan syariat dalam penawaran produk dan perkhidmatan rawatan alternatif berjenama Islam, dengan harapan ianya akan diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa. Ia bukan sahaja amat penting untuk kebaikan pengguna, malah dapat menyelamatkan akidah seorang Muslim dari terlibat dalam perbuatan yang menyekutukan Allah.

Fenomena Perubatan Alternatif
Menurut William Shaw, sebilangan masyarakat di Malaysia percaya bahawa mereka telah menjadi mangsa sihir dan telah mencari jalan untuk mendapatkan rawatan tradisional disamping ’menghantar balik’ sihir itu kepada tuannya.[9] Kenyataan tersebut ada benarnya. Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2004 menunjukkan bahawa sebanyak 56% rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (PTK) sebagai alternatif kepada perubatan moden dan jumlah tersebut meningkat dari tahun ke tahun. Manakala kajian yang dijalankan oleh World Health Organisation (WHO) pula menunjukkan bahawa 80% daripada populasi negara membangun dan 65% populasi negara maju bergantung kepada PTK untuk kesihatan mereka. Sambutan yang menggalakkan ini telah diambil kesempatan oleh sesetengah individu yang menjadikan rawatan alternatif ini sebagai lubuk emas. Maka tidak hairanlah pusat-pusat rawatan alternatif wujud bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, seramai 2,482 orang telah berdaftar sebagai pengamal perubatan tradisional dan komplementari antara November 2008 sehingga Disember 2010.[10] Pada Januari sehingga Mei 2011, seramai 962 pengamal perubatan telah mendaftarkan diri sebagai pengamal melalui laman e-pengamal[11] dan pecahannya adalah seperti berikut:

Pengamal
Jan
Feb
Mac
April
Mei
Tradisional Melayu
2
6
5
2
2
Tradisional Cina
76
22
110
354
309
Tradisional India
0
0
0
0
0
Kompelementari
13
7
1
14
10
Homeopati
4
0
8
4
3
Pengubatan Islam
2
7
1
0
1
JUMLAH
96
42
125
374
325
Jadual 1: Pendaftaran Pengamal Mengikut Modaliti Bagi Bulan Januari-Mei 2011

Berpandukan jadual di atas, didapati masih ramai golongan perawat Islam yang tidak berdaftar dengan pihak kementerian. Justeru, proses pemantauan dan penyeliaan ke atas pusat rawatan ini agak sukar untuk dilakukan oleh pihak berkuasa. Hasilnya, para pengamal perubatan komplementari dan tradisional bebas menjalankan rawatan atas nama pusat rawatan Islam. Latar belakang agama dan penampilan diri pengamal juga telah menyebabkan masyarakat turut tertipu. Sesetengahnya pula memakai gelaran perawat Islam, ustaz, kiyai, tabib atau apa-apa nama yang berunsur Islam walaupun kaedah yang digunakan jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara-perkara sebegini bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah turut menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.

Penyelewengan Dalam Perubatan Alternatif Islam
Amalan perubatan yang menggunakan jenama Islam ini mungkin tidak melibatkan perhambaan atau penyembahan kepada syaitan pada pandangan mata kasar. Namun, jika dilihat secara lebih halus dan teliti, terdapat banyak unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam. Antara perbuatan yang dikenal pasti adalah seperti berikut:

a)  Menggunakan khidmat makhluk halus
Sebahagian perawat menggunakan khidmat makhluk halus dalam kalangan jin sama ada sebagai khadam, pendamping atau sahabat dalam proses merawat pesakit. Mereka mendakwa bahawa jin yang digunakan adalah jin Islam. Perawat sebegini bukan sahaja terkeliru bahkan mengelirukan orang lain terutama pesakit. Kaedah menggunakan jin sebagai pembantu sebenarnya sama sahaja dengan kaedah merawat menerusi resapan mahkluk tersebut ke dalam tubuh perawat seperti dalam upacara menurun, tok bageh, main putri, ulek mayang dan sebagainya. Kaedah menggunakan jin sebagai sahabat adalah satu bentuk tipu daya syaitan setelah umat Islam mula menyedari kaedah resapan roh menyalahi ajaran Islam. Melalui strategi baru ini, makhluk tersebut tidak lagi meresap masuk ke dalam tubuh perawat, sebaliknya mengilhamkan sesuatu melalui bisikan, memperlihatkan sesuatu yang terselindung dan yang ghaib dari pandangan. Allah SWT telah memberi peringatan tentang kesan orang-orang yang menjadikan jin sebagai pendamping dengan firmanNya dalam surah Al-Jin ayat 6:
”Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Allah SWT juga memberi amaran akibat yang akan menimpa orang-orang yang bersahabat dan meminta bantuan dari jin melalui firmanNya dalam surah Al-An’am ayat 128:
”Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (syaitan-syaitan), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah".

b)  Mempamerkan perkara-perkara ajaib dan luar biasa
Terdapat perawat yang melakukan perkara aneh dan luar biasa seperti melakukan pembedahan batin, mengambil barang yang jauh dalam sekelip mata, menangkap jin dan mengurungnya dalam botol, menilik lokasi barang hilang, merawat dari jauh, membaca hati pesakit dan seumpamanya. Ada juga perawat yang melakukan solat sunat untuk menilik di mana barang atau orang yang hilang berada. Ada pula yang mengamalkan zikir tertentu dalam tempoh tertentu untuk menarik harta karun. Tidak kurang juga yang menggunakan tasbih untuk meneropong hati manusia. Semuanya kelihatan seolah-olah selari dengan syariat disebabkan kaedah dan alatan yang digunakan berunsur Islamik. Malah orang yang melakukan perkara-perkara ajaib itu dipanggil ustaz. Hasilnya, manusia mula mengganggap apa yang dilakukan oleh perawat-perawat ini adalah berpunca dari karamah tanpa menyedari bahawa itulah sebenarnya sihir.[12]

Kekeliruan untuk memahami tipu daya syaitan dalam hal tersebut bukan sahaja berlaku dalam masyarakat pada hari ini, bahkan telah pun berlaku sejak zaman terdahulu. Sebagai contoh, rakyat Nabi Sulaiman a.s. terkeliru antara mukjizat Baginda (seperti kebolehan memahami bahasa haiwan,[13] kebolehan menguasai jin dan syaitan dan kebolehan bergerak ke satu tempat dengan menggunakan awan[14]) dengan sihir yang diajarkan oleh para syaitan dan jin kepada manusia.[15] Mukjizat Nabi Sulaiman kelihatan seolah-olah menyamai seperti apa yang dilakukan oleh ahli sihir pada zaman itu. Di dalam agama-agama samawi seperti Islam, Kristian dan Yahudi, terdapat beberapa istilah yang merujuk kepada sesuatu yang luar biasa yang berlaku pada diri seorang manusia. Ianya sama ada mukjizat, karamah, Maunah ataupun sihir. Walaubagaimanapun, terdapat perbezaan yang nyata antara mukjizat, karamah dan maunah dengan ilmu sihir dalam aspek-aspek yang berikut:

No
Aspek
Mukjizat, karamah & maunah
Ilmu Sihir
1.
Kaedah Belajar
Dikurniakan Allah tanpa perlu dipelajari atau diamalkan. Tiada syarat-syarat tertentu atau tempoh tertentu.
Perlu dipelajari dari seseorang dan diamalkan untuk suatu tempoh tertentu dengan syarat-syarat tertentu.
2.
Kaedah Mengajar

Mustahil untuk diajar atau diwariskan oleh orang lain.
Boleh diajar dan diamalkan oleh sesiapa sahaja yang berkehendak.
3.
Kekerapan Berlaku

Berlaku secara spontan. Boleh terjadi berulang kali tanpa dirancang atau diatur.
Boleh dilakukan bila-bila masa yang dikehendaki dan  boleh diatur serta ditentukan.
4.
Matlamat
Mukjizat adalah tanda kenabian, karamah tanda kemuliaan,
Maunah adalah pertolongan.
Sihir adalah tipu daya syaitan
5.
Kebolehtontonan
Mukjizat mesti dipertontonkan sebagai tanda kenabian. Karamah tidak boleh dizahirkan dan mesti  disembunyikan.
Kebolehan luar biasa amalan sihir selalu dipertontonkan untuk tujuan keduniaan dan kepentingan diri.
6.
Kebolehbatalan
Mukjizat, karamah dan maunah tidak mungkin dapat ditandingi apalagi dibatalkan.
Kesan ilmu sihir boleh dibatal dan dihapuskan oleh orang yang tahu akan kelemahannya
7.
Kesan
Bersifat hakiki dan betul-betul terjadi.
Ilmu sihir lebih bersifat khayalan dan tipu daya.
8.
Kesesuaian zaman
Mukjizat dikurniakan mengikut kesesuaian zaman dan tempat, dan ianya berbeza dari satu zaman ke satu zaman.
Dari dahulu hingga sekarang, sihir mempunyai persamaan dari segi alatan, bahan dan kaedah yang digunakan.
9.
Ciri-ciri penerima
Nabi atau Rasul yang mempunyai akhlak yang mulia dan terpuji, manusia-manusia yang bertaqwa, hampir dengan Allah, soleh dan baik akhlaknya.
Pengamalnya bukan dari kalangan soleh dan biasanya mempunyai akhlak yang buruk dan tercela.
Jadual 2: Perbezaan antara mukjizat, karamah, maunah dan sihir.

Berdasarkan perbandingan yang dinyatakan dalam jadual di atas, maka kita boleh membuat penilaian sama ada kebolehan luar biasa yang ditunjukkan oleh seseorang adalah kurniaan berbentuk karamah atau maunah, atau merupakan amalan sihir.

c)  Mengajarkan ilmu dan amalan kebatinan
Terdapat perawat-perawat yang mengajarkan ilmu-ilmu kebatinan yang bukan berasal dari ajaran Islam kepada pesakit atau murid-murid mereka. Antaranya ialah ilmu dan amalan pelindung diri (seperti ilmu kebal dan ilmu ghaib) atapun ilmu pelindung kediaman (seperti pendinding dan pagar rumah). Terdapat juga pengamal seni bela diri yang menggunakan nama-nama tokoh Islam sebagai sandaran asal usul amalan mereka. Sebagai contoh, Ilmu Persilatan Saidina Umar, Ilmu Persilatan Saidina Ali, Ilmu Persilatan Sheikh Abdul Kadir Al Jailani dan lain-lain nama lagi. Ilmu-ilmu sebegini tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW. Malah, Baginda SAW sendiri berperang dan mengalami kecederaan. Apa yang Baginda anjurkan kepada umatnya adalah agar memagar diri dengan iman dan taqwa kepada Allah, bukan kepada yang selainNya.

d)  Menggunakan tangkal, azimat dan barang-barang hikmat
Terdapat perawat-perawat Islam yang membekalkan pesakit mereka dengan azimat, tangkal atau barang-barang hikmat sebagai pelindung, pelaris, pengasih, pendinding dan yang seumpamanya. Barang-barang tersebut bukan sahaja dilambakkan di tepi-tepi jalan, malah turut diiklankan dalam akhbar dan juga internet. Jika ditinjau ke lokasi-lokasi penjualan ubat-ubatan tradisional, kita akan dapati bahawa bahan-bahan seperti ini dijual secara terbuka. Tinjauan yang penulis lakukan di sekitar Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur serta ’Lorong Kunyit’ di Kuantan mendapati minyak pengasih, minyak senyonyong, minyak bulu perindu, syiling yasin 3 dan 5 serta pelbagai tangkal dijual kepada orang ramai secara terbuka. Begitu juga dengan jualan melalui internet. Bayangkan minyak dagu dijual dengan harga RM70,000! Yang lebih mengelirukan pengguna ialah apabila para perawat tersebut mendakwa barang hikmat tersebut seperti cincin, minyak kasturi, keris telah dibaca dan ditapakan dengan ayat-ayat Al-Quran. Masyarakat mudah percaya sekiranya pengamal mendakwa yang digunakan adalah jampi-jampi dari ayat-ayat Al Quran. Kegiatan yang jelas mengajak manusia mensyirikkan Allah ini dibiarkan bermaharajalela tanpa ada tindakan oleh pihak berkuasa agama.

e) Menggunakan kaedah yang bercanggah dengan Al Quran, hadis dan amalan ulama
Terdapat sebilangan perawat yang mengamalkan kaedah yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW dan para alim ulama seperti menilik, membuat ramalan dan tenung nasib. Yang menariknya ialah kaedah-kaedah tersebut dilakukan dengan menggunakan ayat-ayat dari Al-Quran. Masyarakat mula dikelirukan dan sebahagiannya menganggap bahawa ianya kaedah yang betul. Hakikatnya, Allah SWT menurunkan ayat-ayat Al-Quran sebagai panduan kepada golongan yang bertaqwa serta rahmat dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman. Kebelakangan ini, ramai perawat-perawat yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran bukanlah dalam kalangan yang mempunyai ciri-ciri mu’minin atau muttaqin sebagaimana yang digambarkan oleh surah Al Mu’minun. Oleh kerana itu, pengamalan ayat-ayat Al Quran sebagai suatu bentuk rawatan bukan boleh diijazahkan dan digunakan secara sesuka hati tanpa sebarang panduan oleh seorang guru. Pengamalan ayat-ayat tersebut dengan tujuan keduniaan (seperti kebal, ghaib, pengasih, penggerun, penyeri muka) akhirnya boleh menyebabkan pengamalnya bergantung kepada ayat, bukannya kepada Allah. Apabila keadaan ini berlaku, syaitan dan jin akan mengambil kesempatan dengan mendakwa mereka adalah khadam atau malaikat yang menjaga ayat tersebut.

f)  Memperolehi ilmu melalui sumber dan kaedah yang aneh
Terdapat perawat-perawat yang mempelajari ilmu tersebut melalui sumber yang aneh dan pelik seperti melalui mimpi berjumpa wali, malaikat, nabi dan orang soleh, atau penyerapan cahaya tertentu yang menjelma ke dalam diri, ilham dan juga bisikan. Sesetengahnya pula secara tiba-tiba mempunyai kebolehan merawat pesakit setelah sembuh dari penyakit atau sebaik sahaja pulang dari suatu tempat seperti Mekah. Perolehan ilmu dengan cara sebegini bertentangan dengan prinsip pengajaran dan pembelajaran dalam Islam. Bidang perubatan merupakan satu bidang yang memerlukan penekunan, kesungguhan, keazaman, minat, disiplin yang tinggi dan akidah yang mantap. Selain itu, penuntut juga perlu melalui satu tempoh untuk dibimbing oleh guru. Selain perolehan ilmu secara aneh tadi, terdapat perawat-perawat yang menganjurkan kursus-kursus perubatan Islam berbentuk ’mee segera’ yang mengajarkan ilmu perubatan untuk tempoh yang singkat secara pukal tanpa melihat prestasi dan potensi murid itu. Pendekatan sebegini boleh menimbulkan implikasi negatif terhadap penuntut kerana mereka tidak mendapat bimbingan secara langsung dan berterusan. Melahirkan seorang perawat Islam adalah sama seperti melatih seorang doktor pakar dalam perubatan moden. Selain aspek teori, mereka perlu menjalani amali untuk satu tempoh bagi mempersiapkan diri rohani dan jasmani. Tidak memadai hanya dengan menghadiri kursus satu atau dua hari lalu terus menceburi bidang perubatan. Lebih parah lagi apabila terdapat perawat yang tidak bertanggungajawab mengajarkan ilmu dan amalan perubatan Islam bukan secara bersemuka (talaqqi) dengan guru. Mereka memberi ijazah kebenaran beramal melalui buku, internet mahupun CD. Hal-hal sebegini boleh mengelirukan masyarakat yang mudah terpukau dengan kehebatan dan keluar biasaan yang ditunjukkan.

Tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa: Satu saranan
Penulis berpendapat, terdapat enam pendekatan yang perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani permasalahan ini.

a)  Memperkasakan bahagian penyelidikan dan bahagian penguatkuasaan jabatan agama Islam (khususnya yang berkaitan pencegahan amalam khurafat) melalui latihan dan kefahaman yang sebenar tentang selok belok dan tipu daya dalam perubatan alternatif. Melalui pemerhatian dan pengalaman penulis, terdapat sebilangan kakitangan di institusi agama sendiri turut terlibat dalam penggunaan khidmat perawat alternatif yang menyimpang dari kaedah perubatan Islam. Hal ini berlaku kerana kurang kefahaman atau terkeliru. Justeru, penguatkuasaan tidak mungkin dapat dilakukan sekiranya pihak penguasa juga terlibat dalam amalan-amalan sebegini. Melalui pemerkasaan ini, pegawai-pegawai yang terlibat akan lebih memahami tentang pentingnya kekuatan rohani dalam proses menguatkuasakan undang-undang ini.

b)  Membangkitkan kesedaran dalam kalangan pengamal rawatan alternatif Islam tentang tipu daya dalam dunia perubatan melalui pengajuran kursus, seminar dan juga sebaran am. Ini kerana ada sebahagian perawat menyangka apa yang mereka amalkan tidak salah dan bertepatan dengan ajaran Islam. Contoh terbaik ditunjukkan oleh Bahagian Kawalan Akidah, Jabatan Hal Ehwal Syariah Brunei. Mereka telah mengumpulkan kesemua pengamal-pengamal perubatan Islam di Brunei untuk diberikan penerangan tentang ciri-ciri perubatan yang menyeleweng. Usaha ini dilaksanakan kerana mereka percaya bahawa ramai pengamal yang tidak menyedari bahawa perbuatan mereka itu bertentangan dengan hukum syara’. Hasilnya, sebahagian dari mereka menerima dan bertaubat atas apa yang telah mereka lakukan.

c) Mengeluarkan sijil tauliah kepada pusat rawatan Islam yang ingin menjalankan rawatan Islam. Pensijilan ini adalah salah satu bentuk pemantauan bagi memastikan ianya tidak menyeleweng dari syariat Islam. Ketiadaan pemantauan ini menyebabkan sesiapa sahaja boleh menjalankan rawatan dan mendakwa rawatannya adalah rawatan Islam. Melalui cara ini, kaedah yang digunakan oleh pusat rawatan tersebut akan dinilai dan ditelitikan sebelum sijil tauliah dikeluarkan. Hasilnya, masyarakat akan merasa lebih yakin dan secara tidak langsung dapat menyelamatkan akidah mereka. Jika dibandingkan dengan perubatan alopati, terdapat peraturan-peraturan tertentu bagi membolehkan seseorang doktor beramal. Begitu juga dengan ubat-ubatan yang dihasilkan perlu mematuhi syarat dan piawaian tertentu. Oleh yang demikian, pusat rawatan Islam juga perlu mempunyai peraturan sedemikian bagi mengelakkan kekeliruan dan unsur keraguan di dalamnya.

d) Menguatkuasakan undang-undang berkaitan pembanterasan amalan khurafat. Beberapa peruntukan dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri di Malaysia boleh digunakan untuk membanteras kesalahan-kesalahan berkaitan penawaran produk atau perkhidmatan yang mempunyai unsur sihir atau unsur yang menyeleweng dari akidah Islam. Sebagai contoh, seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001[16] memperuntukan:

(1) Mana-mana orang yang memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan apa-apa cara yang menyalahi Hukum Syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi memantapkan lagi mekanisma perundangan, kajian lebih mendalam tentang isu-isu perundangan yang melibatkan amalan sihir perlu dilakukan. Langkah permulaan telah dilakukan oleh beberapa institusi bagi mencapai tujuan tersebut. Antaranya, Jabatan Mufti Selangor (JMS) telah menganjurkan Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis pada 17 Disember 2009 dan Muzakarah Pakar: Cabaran Pendakwaan Ahli Sihir di Mahkamah pada 21 Julai 2010. Kedua-dua muzakarah ini menghasilkan satu resolusi supaya kegiatan jenayah yang menggunakan ilmu sihir dibanteras melalui mekanisma perundangan. Hal yang sama turut disuarakan dalam Seminar Undang-undang Jenayah Sihir pada 10 Oktober 2010[17] dan dalam Seminar Isu-isu Semasa Mahkamah Syariah ke-12 pada 2 November 2011.[18] Beberapa kajian berkaitan undang-undang bagi menyekat amalan sihir sedang dan telah dijalankan diperingkat Sarjana dan Doktor Falsafah.[19] Selain itu, Rang Undang-undang Perubatan Tradisional dan Komplemetari bagi memantau perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia masih dalam proses untuk dibentangkan di Parlimen. Penulis berpendapat undang-undang yang bakal diwujudkan perlu mengandungi peruntukan berkaitan pemantauan dan tindakan terhadap pusat-pusat rawatan yang didapati mengamalkan kaedah rawatan yang boleh memesongkan akidah umat Islam. Ini kerana terdapat sebahagian perawat yang mengambil kesempatan atas kelemahan undang-undang yang ada sekarang.[20]

e) Menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menghasilkan tenaga pakar melalui penawaran program-program pengajian dalam bidang rawatan Islam.[21] Sehingga hari ini, terdapat 7 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia mendapat pengiktirafan dan akreditasi dari Malaysian Qualification Agency (MQA) untuk menawarkan diploma dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari.[22] Malangnya, semua kursus tersebut adalah dalam bidang perubatan tradisional Cina dan homeopati. Setakat ini, tiada satu kursus dalam perubatan Islam ditawarkan di mana-mana institusi pengajian tinggi. Justeru, kerjasama dalam bidang ini dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap perubatan Islam.

f)   Memantapkan garis panduan bagi pengamal perubatan alternatif Islam. Dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerbitkan “Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-unsur Yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah“ yang mengandungi panduan tentang kategori amalan-amalan khurafat.[23] Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menyediakan garis panduan kepada pengamal perubatan Islam yang dinamakan sebagai “Garis Panduan Amalan Pengubatan Islam“.[24] Kedua-dua garis panduan ini berupaya menjadi panduan asas kepada pengamal dan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan. Melalui usaha BPTK juga, para pengamal-pengamal perubatan Islam dihimpunkan dan mereka telah bersepakat untuk menubuhkan satu gabungan pengamal perubatan Islam yang dikenali sebagai Gabungan Persatuan Perawat Islam Malaysia atau GAPPIMA. Gabungan ini kelak akan menjadi penaung kepada persatuan-persatuan yang mengamalkan perubatan Islam yang diiktiraf.

Setelah meneliti garis panduan tersebut, penulis mendapati terdapat beberapa perkara asas yang menjadi dasar kepada amalan perubatan Islam tidak dicakupi dengan sempurna. Berikut adalah beberapa perkara asas yang dicadangkan bagi dijadikan sebagai tambahan kepada panduan tersebut:

a)  Penggunaan terma ‘Pusat Rawatan Islam’ atau ‘Pengubatan Islam’
Bagi mengawal penggunaan istilah perubatan Islam, maka pihak berkuasa agama perlu memastikan terma tersebut digunakan dengan cara yang betul dan tidak mengelirukan. Mana-mana individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa bahawa kaedah rawatan dan pengubatan mereka adalah berasal dari Islam melainkan mereka dapat membuktikan bahawa:

  •    Kaedah tersebut mempunyai dalil-dalil yang kukuh dari al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama atau Qiyas.
  •     Kaedah tersebut tidak mengandungi unsur amalan sihir, ilmu hitam, tilik, tenung, tukang nujum, ramalan tapak tangan, silap mata atau yang seumpamanya.
  •    Kaedah tersebut diterima secara bersemuka dengan guru yang mahir, bukan melalui mimpi, bisikan, ilham, penjelmaan roh, menurun, bertapa, bacaan dari buku atau yang seumpamanya.
  •     Kaedah tersebut tidak menetapkan syarat atau pengeras yang tertentu, atau yang bertentangan dengan syariat.
  •     Kaedah tersebut tidak mengandungi kepercayaan atau perbuatan berunsur syirik seperti semah pantai, sembelihan binatang, buang ancak atau yang seumpamanya.
  •     Kaedah tersebut tidak mengamalkan bacaan tertentu yang menggunakan unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluk ghaib dalam acara perubatan.
  •     Kaedah tersebut tidak bertentangan dengan mana-mana hukum syariat, akidah dan akhlak.    

b)  Syarat kelayakan perawat
Dari segi syarat kelayakan perawat pula, pihak berkuasa agama perlu memantau latar belakang pendidikan dan sahsiah perawat. Mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan kaedah rawatan dan pengubatan Islam perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  •  Perawat hendaklah seorang yang beragama Islam, aqil dan baligh serta memahami apa yang diucapkannya.
  •   Perawat hendaklah mempunyai kelayakan akademik sekurang-kurangnya:
                                     i.   Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM); atau
                                    ii.   Diploma dalam mana-mana bidang; atau
                                   iii.   Menamatkan pembelajaran di mana-mana pusat pengajian  
                                          atau bimbingan agama untuk tempoh 4 tahun.

             atau mendapat pengiktirafan dari badan berkuasa sama ada:
                                   i.  Sijil tauliah dari mana-mana pegawai agama daerah; atau
                                  ii.  Surat lantikan sebagai seorang yang mempunyai kefahaman 
                                       agama dari mana-mana badan yang diiktiraf; atau
                                 iii.  Apa-apa sahaja bukti yang boleh menunjukkan bahawa beliau 
                                       seorang yang mempunyai asas dan pegangan agama yang kuat.

  • Perawat mestilah seseorang yang dikenali bersifat dengan sifat-sifat mahmudah.
  •  Perawat diketahui tidak terlibat dalam perkara-perkara yang boleh membawa syirik.
  • Perawat diketahui tidak meninggalkan ibadat-ibadat wajib dalam Islam.
  • Perawat diketahui tidak melakukan apa-apa bertentangan dengan undang-undang negara.
  • Perawat diketahui tidak memecahbelahkan masyarakat dan keluarga.
  • Perawat diketahui tidak mentafsir ajaran agama Islam mengikut hawa nafsu atau fikiran sendiri.
  • Perawat diketahui tidak memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti sihir, ilmu hitam dan menurun.
  • Perawat diketahui tidak bersahabat atau bekerjasama dengan makhluk ghaib seperti jin sekalipun jin Islam, dalam proses rawatan.
  • Perawat diketahui tidak melakukan sebarang bentuk tilikan, ramalan, tenung nasib, atau ramalan tentang buruk atau baik pada masa akan datang dan lain-lain.
  • Perawat diketahui tidak mendakwa mengetahui, melihat atau mendengar perkara-perkara yang ghaib.
  • Perawat hendaklah menjalankan rawatan dengan ikhlas hati, semata-mata mencari keredhaan Allah S.W.T.

KESIMPULAN
Isu kepenggunaan Islam bukan hanya berkisar persoalan halal haram sesuatu produk atau perkhidmatan, tetapi juga perlu menitik beratkan soal kesucian akidah pengguna dari unsur-unsur syirik. Kegagalan mematuhi status halal dan haram sesuatu produk atau perkhidmatan masih tergolong dalam kategori dosa-dosa yang diampuni, sedangkan kegagalan memelihara akidah adalah suatu dosa besar yang tidak akan diampuni oleh Allah SWT berdasarkan firmanNya dalam surah An Nisa, ayat 48:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan Dia akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

Bermaharajalelanya perawat-perawat alternatif melakukan rawatan yang bertentangan dengan ajaran Islam menimbulkan impak yang negatif dalam masyarakat. Kebejatan ini seolah-olah tidak mendapat perhatian dari pihak-pihak berwajib. Semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai hab halal di Asia perlu diunjurkan kepada usaha-usaha menjaga akidah dan syariat Islam dari diseleweng oleh perawat-perawat yang tidak bertanggungjawab ini. Insititusi-institusi pentadbiran dan perundangan Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan agama Islam negeri dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) seharusnya lebih terkehadapan dalam mendepani isu ini kerana ianya melibatkan aspek perundangan Syariah dan juga akidah ummah. Melalui usaha ini, penulis berkeyakinan Malaysia selayaknya diiktiraf sebagai hab halal bagi semua jenis produk dan perkhidmatan.



[1] Pengarah, Pusat Pengajian Islam, Kolej Antarabangsa IKIP, Kampus Taman Pertanian, 25200 Kuantan. Tel: 09-5736888, Fax: 09-5736999, Email: mahyuddin@ikip.edu.my.
[2] Pembiayaan bagi sektor industri kecil dan sederhana yang terlibat dalam industri halal melalui geran yang dikenali sebagai SMEC’s Halal Development and Promotions Grant.
[3] Halal Industry Development Corporation ditubuhkan pada 18 September 2006 yang dibantu oleh agensi di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri seperti Malaysian Industrial Development Authority (MIDA), Malaysian External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Small and Medium Enterprises Corporation (SMEC).
[4] Antara latihan dan program yang dijalankan oleh HDC ialah Halal Awareness Programme (HAP), Halal Industry Programme (HIP) dan Halal Professional Programme (HPP), Malaysian International Halal Showcase (MIHAS), Program MATRADE–MIHAS Incoming Buying Mission.
[5] MISC Integrated Logistics Sdn. Bhd. (MILS) menyediakan kemudahan pengurusan logistik yang memenuhi standard halal.
[6] HDC telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti dan institusi bagi membangun modul serta menyediakan program latihan eksekutif halal. Antaranya ialah Victoria University of Wellington, New Zealand dan University of Maryland, USA, Institut Keusahawanan Negara, Bahagian Politeknik kementerian Pengajian Tinggi, Institute of Halal Research & Management (IHRAM), USIM.
[7] HDC juga menjalinkan perkongsian strategic dengan TPM Biotech Sdn Bhd (TPMB) bagi menformulakan Halal Laboratory Standard. Selain itu, HDC juga telah bekerjasama dengna Bahagian Halal JAKIM bagi menyediakan kemudahan kepada mereka yang menceburkan diri dalam industry halal. HDC turut bekerjasama dengan pakar-pakar dalam bidang tertentu seperti UPM dan wakil industry seperti UNZA dan Colgate Palmolive.
[8] Akta Makanan 1983, Akta Perihal Dagangan 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975 dan Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan Halal) 1975 dan enakmen kesalahan jenayah syariah negeri-negeri.
[9] William Shaw, 1975, Aspects of Malaysian magic, Kuala Lumpur, Muzium Negara, hlm. 49.
[10] Data diperolehi dari Unit Pendaftaran Pengamal Tempatan, Bahagian Perubatan Tradisional dan Kompelmentari (BPTK) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
[11] http://tcmonline.moh.gov.my/tcmonline
[12] Penjelasan lanjut tentang perkara ini dihuraikan dalam halamn 5.
[13] Al Qur’an, an Naml, 18-19.
[14] Al Qur’an, Saba, 12-13.
[15] Al Qur’an, Al Baqarah, ayat: 102
[16] Peruntukan yang sama dapat dilihat dalam seksyen 4 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Bezanya denda di Selangor ialah RM3000 atau penjara 2 tahun.
[17] Seminar yang dianjurkan bersama oleh Kolej Antarabangsa IKIP, Yayasan Pahang dan Jabatan Kehakiman Syariah Pahang telah dijadikan antara tajuk utama oleh akhbar tempatan dan siaran berita di televisyen pada 11 Oktober 2011.
[18] Seminar tersebut dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memberi perhatian tentang isu penggunaan ilmu hitam dalam kes-kes kekeluargaan. Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah “Sihir sebagai bukti pembelaan dalam kes-kes keluarga dan harta”.
[19] Sebagai contoh, penulis telah menghasilkan tesis Ph.D yang bertajuk “Penggunaan Ilmu Sihir dalam Kegiatan Jenayah di Malaysia: Keperluan kepada Pembanterasan Melalui Mekanisma Perundangan” pada tahun 2010 dan kini ia telah dicetak dalam bentuk buku bertajuk “Ahli Sihir ke Tali Gantung” oleh PTS Milenia Sdn. Bhd.
[20] Terdapat pusat-pusat rawatan yang telah diserbu beberapa kali dan pengamalnya juga telah didakwa di mahkamah, tetapi mereka tetap berdegil dan masih mengulangi kesalahan yang sama.Sebagai contoh, Pusat Rawatan Keraton yang menjalankan pembedahan batin telah diserbu pada tahun 2009 dan telah diarah tutup. Namun, orang yang sama telah membuka pusat rawatan baru di Johor Bharu dan ditangkap pada 2010. Pada masa yang sama, anaknya pula membuka pusat rawatan yang sama di Sabah.
[21] Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan kerjasama KKM telah menyediakan panduan kepada mana-mana IPT untuk menjalankan kursus berkaitan rawatan tradisional di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
[22] IPT tersebut adalah Southern College, Tunku Abdul Rahman University, INTI International University College, Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Malacca Colege of Complementary Medicine, Management and Science University (MSU) and International Medical University (IMU).
[23] www.islam.gov.my/sites/default/files/garisan_panduan_bercetak_2.pdf  [Lihat pada 1 Disember 2011]
[24] Diterbitkan pada September 2011.